"Little Birds" akan dikerah untuk menyokong operasi ketenteraan di pantai timur Sabah
PETALING JAYA: Enam helikopter peninjau/penyerang ringan MD530G, atau dikenali “Little Birds”, bakal diperoleh bagi meningkatkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).
Dalam satu kenyataan, pengeluar helikopter tentera MD Helicopters Inc. mengumumkan ia akan membekalkan enam buah helikopter itu ke unit udara tentera darat bermula suku keempat 2016. Kesemua helikopter itu akan diterima sepenuhnya pada penghujung suku pertama tahun hadapan.
Angkatan MD530G itu dijangka dikerah ke ESSCOM untuk melaksanakan misi serangan, risikan, pengawasan dan tinjauan serta keselamatan dalam peranannya menyokong operasi tentera di sana.
Enam helikopter ini turut dilengkapi pakej persenjataan tersuai (customized), kemampuan komunikasi termaju dan peralatan pengesan terkini untuk mengecam dan bertempur dengan pelbagai jenis ancaman.
Ketua Pegawai Eksekutif MD Helicopters, Lynn Tilton berkata syarikatnya komited untuk membantu mengangkat kemampuan syarikat tempatan dari sudut perkhidmatan jangka panjang, sokongan dan keberkesanan operasi angkatan itu.
Kawasan ESSCOM meliputi pesisiran pantai sepanjang 1,400 km dari Kudat ke Tawau. Ia diwujudkan selepas pencerobohan Suluk dari selatan Filipina pada 2013.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan