Selasa, 2 Februari 2016

Enam helikopter penyerang tingkat keselamatan ESSCOM

 
"Little Birds" akan dikerah untuk menyokong operasi ketenteraan di pantai timur Sabah 


esscom


PETALING JAYA: Enam helikopter peninjau/penyerang ringan MD530G, atau dikenali “Little Birds”, bakal diperoleh bagi meningkatkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Dalam satu kenyataan, pengeluar helikopter tentera MD Helicopters Inc. mengumumkan ia akan membekalkan enam buah helikopter itu ke unit udara tentera darat bermula suku keempat 2016. Kesemua helikopter itu akan diterima sepenuhnya pada penghujung suku pertama tahun hadapan.

Angkatan MD530G itu dijangka dikerah ke ESSCOM untuk melaksanakan misi serangan, risikan, pengawasan dan tinjauan serta keselamatan dalam peranannya menyokong operasi tentera di sana.

Dibina sebagai helikopter peninjau/penyerang yang tangkas dan berkebolehan, “Little Birds” mempunyai kelajuan maksimum 130 knot (240 kmsj) dan boleh tertatarajah (configured) untuk memuatkan avionik termaju, pengesan infra-merah hadapan, roket dan peluru berpandu terarah, dan mesingan.

Enam helikopter ini turut dilengkapi pakej persenjataan tersuai (customized), kemampuan komunikasi termaju dan peralatan pengesan terkini untuk mengecam dan bertempur dengan pelbagai jenis ancaman.

Ketua Pegawai Eksekutif MD Helicopters, Lynn Tilton berkata syarikatnya komited untuk membantu mengangkat kemampuan syarikat tempatan dari sudut perkhidmatan jangka panjang, sokongan dan keberkesanan operasi angkatan itu.

Kawasan ESSCOM meliputi pesisiran pantai sepanjang 1,400 km dari Kudat ke Tawau. Ia diwujudkan selepas pencerobohan Suluk dari selatan Filipina pada 2013.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.