Selasa, 23 Februari 2016

BAEEKKK PUNYA LAMBUNG!!

shahbudindotcom

 

 
 
 
Ketua Penerangan UMNO, Annuar Musa menyifatkan Perdana Menteri, Najib Razak seorang pemimpin yang memiliki ramuan lengkap yang diperlukan untuk terus mentadbir parti dan negara serta sama sekali bukan seorang "penyamun" seperti yang digambarkan oleh musuh-musuh politiknya.

Malahan, tegas  Ahli Parlimen Ketereh dan bekas menteri itu, keyakinan terhadap Perdana Menteri masih kukuh untuk terus menguruskan negara, ekonomi dan parti keramat UMNO.

"Najib memiliki segala "ingredients"  untuk melakukannya.

"Saya tidak fikir Najib seorang watak "penyamun"  seperti yang cuba digambarkan atau beliau seorang yang mencari jalan nak menghancurkan UMNO bila naik jadi presiden....tidak," katanya lagi.

Ulasan Annuar mengenai watak "penyamun"  yang sering dikaitkan dengan Najib tidak lain tentunya berkaitan dengan wang RM2,600 juta dan dana RM42 juta daripada SRC International yang mengalir masuk ke akaun peribadinya, tetapi telah dibersihkan oleh Peguam Negara sebagai tidak melakukan apa-apa kesalahan.

Selain derma berbilion ringgit yang dikatakan daripada keluarga Diraja Arab Saudi itu itu masih menimbulkan banyak misteri, yang lebih menjadi "lawak antarabangsa"  ialah bila Najib dikatakan tidak mengetahui dana RM42 juta yang diterimanya itu datang daripada SRC, sebuah anak syarikat milik Kementerian Kewangan.

Orang kata, inilah kelebihan pemimpin veteran bila berkata-kata. Hujah dan cara mereka berbicara serta melontarkan idea untuk menggembirakan "boss yang berkuasa" memang tak terlawan dek pemimpin-pemimpin muda.

Seolah-olah tidak memperdulikan segala fakta berkaitan dengan isu wang tersebut yang telah menyebabkan gelaran "penyamun" itu memenuhi seluruh cakrawala dunia dan begitu melekat dengan Najib, yang penting ialah Perdana Menteri yang boleh memberikan banyak kenikmatan di dunia, harus disokong dan dipertahankan sebaik-baiknya.

Dulu Salleh Said Keruak sudah berkali-kali melakukannya dan akhirnya diberikan jawatan menteri, apa pula agaknya "hadiah misteri" yang bakal menanti Annuar selepas ini?


Tiada ulasan: