Tuesday, September 1, 2015

Siapa sebenarnya yang membawa risiko besar kepada negara?... Bukankah Najib sendiri?


Rali Bersih 4 tamat tengah malam tadi dan peserta rali beransur-ansur berundur setelah melaungkan perkataan keramat 'merdeka' tepat 12 tengah malam tadi. Ada yang menafsirkan sejumlah empat ratus ribu telah menyertai rali tersebut tetapi saya lebih cenderung untuk menganggarkan seramai 350,000 sahaja. Jumlah itu sudah cukup meyakinkan kita yang kehendak ramai untuk Najib berhenti dan bersara begitu jelas dan susah hendak dinafikan.

Apa pun yang dikatakan oleh pihak yang memerintah, Bersih 4 telah berjaya mengumpulkan begitu ramai penyokong yang datang dari jauh dan dekat, pendeknya Bersih 4 itu berjaya dan niat serta hajat untuk membuktikan yang Najib sedang menghadapi krisis keyakinan itu amat ketara. Katalah kehendak hati yang tidak bersetuju dengan rali ini, ia merupakan organisasi yang amat sempurna secara relatifnya.

Keadaan terkawal dan dari awal lagi mereka yang menyusun rali ini telah memberikan jaminan yang rali itu adalah perhimpunan yang bertujuan yang aman semata-mata. Mereka hanya hendak menunjukkan sikap mereka terhadap kepimpinan Najib dan rakan-rakannya dalam kabinet negara itu. Mereka mahu menunjukkan dengan jelas kepada Najib yang beliau perlu memujuk semua anggota kabinetnya untuk berhenti bersama-sama beliau dari menguasai kerajaan Persekutuan.

Rakyat bertambah risau kerana jika matlamat mereka ialah untuk hidup dalam keadaan yang aman dan damai dan menuntut Najib untuk bersara bagi mendapatkan kedamaian yang diidamkan oleh rakyat itu. Tetapi mereka bertambah runsing dan risau apabila kelihatan Najib akan menurunkan dan mewariskan kepimpinan negara kepada Ahmad Zahid Hamidi dan inilah yang digerunkan oleh rakyat biasa negara ini.

Jika Zahid yang mewarisi kepimpinan lemah Najib ini, Zahid akan menjadikan negara lebih celaru dengan sikap dan sifatnya yang 'bodoh sombong' dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menakut-nakutkan rakyat. Kenyataan-kenyataan beliau tanpa 'decorum' nyata jelas kenyataan kerasnya itu adalah semata-mata untuk menutupi kekurangan yang ada kepada diri beliau sendiri.

Dalam ucapan hari kemerdekaannya Najib telah menzahirkan kerunsingan beliau jika BN dan UMNO khususnya akan kalah dalam pilihanraya yang akan datang dan terus menyalahkan rakyat yang berjiwa memberontak itu. Tetapi tidak nampak dalam diri beliaulah yang masalah dan risiko kekalahan BN dalam pilihanraya itu adalah hasil dari kelemahan dan kekurangan kepada kepimpinan beliau.

Beliau tidak mahu menerima yang satu-satunya jalan yang tinggal bagi mempastikan kemenangan UMNO dan BN itu ialah dengan mengajak semua barisan kepimpinan beliau di dalam kabinet itu berhenti dan bersara dari memegang jawatan dan tanggungjawab yang mereka tidak mampu untuk melaksanakannya itu.

Sesungguhnya beliaulah yang bertanggungjawab menjadikan kerajaan menghadapi risiko ditumbangkan oleh rakyat didalam pilihanraya yang akan datang. Najib tidak boleh membiarkan negara terumbang ambing kerana diri beliau dan kabinet beliau yang beliau lantik itu.

Perhimpunan Bersih yang begitu besar sambutannya memberikan implikasi yang besar terhadap kepimpinan Najib ini dan beliau sepatutnya mendengar desakan rakyat dari menyalahkan rakyat diatas kecelaruan yang kita hadapi ini.

Lain orang lain caranya untuk memberikan bakti kepada negara. Jika Tunku Abdul Rahman memberikan jasa kepada negara dengan mengetuai usaha dan perjuangan untuk mencapai kemerdekaan, Najib pula hanya boleh menaburkan bakti kepada negara dengan berhenti sahaja dari terus mentadbir negara yang sedang kehausan kepimpinan ini.

Yang penting bagi seseorang pemimpin ialah dia meninggalkan jasa kepada negara. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan jasa. Najib sepatutnya menunjukan jiwa besar beliau dengan mengumumkan kepada rakyat yang beliau bersama kabinetnya berhenti semata-mata untuk menstabilkan politik dan kepimpinan negara. Mengakui kelemahan sendiri dan berundur merupakan satu tindakan yang sangat dihargai oleh rakyat dan ia akan dikenang buat selama-lamanya oleh rakyat dan penulis sejarah negara kita.

Malahan tindakan Najib untuk berundur secara terhormat itu boleh dijadikan contoh oleh kepimpinan yang akan datang yang mengakui kelemahan dan kesalahan itu akan menjadi isu yang positif bagi seseorang yang berjiwa besar dengan mengakui kelemahan sendiri itu.

Hentikanlah sikap menjadikan jawatan dan pengaruh dalam kuasa kerajaan sebagai modal perniagaan itu. Ia adalah terlalu hina dan jauh sekali untuk memperolehi keberkatan dari Tuhan semesta alam itu. Najib sepatutnya bertanya kepada dirinya sendiri samada beliau mampu untuk menyelesaikan masalah ekonomi negara ini misalnya. Jika jawapannya 'tidak mampu' maka beliau sepatutnya menyerahkan jawatan itu kepada pemimpin yang lebih berkemampuan dari beliau dan kabinetnya.

Beliau sendiri tahu yang beliau tidak mampu untuk penyelesaian itu.

No comments: