Sunday, September 27, 2015

Saravanan sahkan tanding timbalan presiden MIC

MALAYSIAKINI


 


Naib Presiden MIC Datuk M Saravanan mengesahkan beliau akan bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan semula parti yang dijadualkan pada 24 dan 25 Okt.

Beliau akan bertemu Presiden parti Datuk Seri Dr S Subramaniam bagi menyatakan keputusan itu, yang diambilnya setelah mendapat sokongan daripada akar umbi.

"Saya akan jumpa beliau (Dr Subramaniam) berhubung hasrat saya untuk bertanding setelah semua pemilihan peringkat bahagian selesai (pada akhir minggu ini).

"Keputusan (bertanding) terletak kepada persetujuan beliau," kata Saravanan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan MIC Wilayah Persekutuan kepada pemberita selepas jamuan malam bersama Ketua-Ketua Cawangan MIC Wilayah Persekutuan di ibu negara.

Pada majlis itu, MIC Wilayah Persekutuan yang terdiri daripada 11 bahagian - Cheras, Batu, Bukit Bintang, Bandar Tun Razak, Setiawangsa, Lembah Pantai, Segambut, Titiwangsa, Kepong, Seputeh dan Putrajaya - mengumumkan sokongan kepada Saravanan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden parti itu.

Semasa menyambut baik sokongan itu, Saravanan yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan yakin perwakilan parti dapat membuat keputusan bijak demi masa depan parti, masyarakat India dan negara.
-Bernama


No comments: