Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mengutuk sekeras-kerasnya penahanan semula Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan – setelah dibebaskan daripada tahanan reman – di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) dan melihatnya sebagai suatu tindakan berniat jahat yang menjejaskan demokrasi berparlimen.
Bersih 2.0 menegaskan, satu ciri paling istimewa demokrasi berparlimen ialah keanjalan dalam menukar ketua kerajaan, iaitu perdana menteri. Perdana menteri tidak mempunyai jaminan kerja dan boleh “dipecat” Parlimen pada bila-bila masa seandainya perdana menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Parlimen.
Kerana itu, demokrasi berparlimen hanya dapat berfungsi dengan baik apabila rakyat bebas mempersoalkan kebolehpercayaan perdana menteri, dan Parlimen pula bebas untuk menentukan sama ada kepercayaan kepada perdana menteri masih wujud atau tidak.
Sesiapa yang cuba
menghalang rakyat daripada mempersoalkan kebolehpercayaan perdana
menteri, dan cuba menafikan hak Parlimen untuk mempertimbangkan semula
kebolehpercayaan terhadap perdana menteri sebenarnya merampas kuasa
rakyat dan Parlimen dan menjejaskan demokrasi berparlimen.
Penahanan
Khariuddin asalnya di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaaan [cubaan untuk
melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen] dan
penahanan semula beliau di bawah Sosma (boleh sampai 29 hari) di bawah
Seksyen 124K [sabotaj] and 124L [cubaan untuk melakukan sabotaj] Kanun
Keseksaan adalah tindakan berniat jahat.
Bersih
2.0 menegaskan, tiada sebarang undang-undang di Malaysia yang
mengharamkan rakyat Malaysia daripada memanfaatkan sistem undang-undang
di mana-mana negara lain di dunia. Khairuddin tidak bersalah dan tidak
melakukan sabotaj dengan mengemukakan laporan mengenai skandal 1MDB ke
sistem perundangan negara lain.
Sabotaj hanya
berlaku apabila rakyat seperti Khairuddin dilarang mempersoalkan
kebolehpercayaan perdana menteri dan Parlimen dihalang membuat keputusan
mengenainya.
Bersih 2.0 menyeru pihak berkuasa
membebaskan Khairuddin tanpa syarat dan menghentikan semua tindakan
yang boleh membawa sabotaj kepada demokrasi berparlimen.
Bersih
2.0 juga mengulangi cabaran yang dibuat Pengerusi Bersih 2.0, Maria
Chin Abdullah pada 19 Ogos supaya perdana menteri mengemukakan usul undi
percaya di Parlimen. Sekiranya usul itu diluluskan, maka Najib akan
mempunyai keabsahan untuk terus berkuasa.
Bersih
2.0 berharap Najib akan cukup berani untuk menghormati demokrasi
berparlimen dan bukan menganiayai para pengkritik seperti Khairuddin.
No comments:
Post a Comment