KUALA LUMPUR, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menahan pemilik laman sesawang yang menjual animasi muslimah berunsur lucah di Subang Jaya, awal pagi semalam.


Ketua Bahagian Pemantauan dan Penguatkuasaan SKMM, Zulkarnain Mohd Yasin berkata hasil siasatan dengan kerjasama polis mendapati suspek disyaki melukis sendiri animasi berunsur lucah untuk dijual kepada pembeli terutama pelajar sekolah dengan harga serendah RM2.

“Beberapa kelengkapan komunikasi milik suspek turut disita dan dirampas termasuk telefon bimbit serta kad sim, ‘pen drive’, cakera keras, komputer riba, komputer meja dan modem,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata rakaman percakapan suspek turut diambil bagi membantu siasatan.

Zulkarnain menjelaskan serbuan dijalankan berdasarkan aduan awam tentang penggunaan aplikasi Internet untuk pemberian kandungan lucah bagi tujuan komersial.

Beliau berkata lukisan animasi muslimah yang berunsur lucah itu adalah bertentangan dengan ajaran agama Islam serta nilai-nilai murni masyarakat Malaysia.

Katanya, SKMM memandang serius penyalahgunaan perkhidmatan aplikasi dan akan mengambil tindakan sewajarnya di bawah seksyen 233(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau hukuman penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali.

“Tindakan juga boleh diambil di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang mana hukuman yang diperuntukkan ialah penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Zulkarnain menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kawal selia kendiri ketika menggunakan perkhidmatan aplikasi Internet secara bijak dan tidak menjalankan aktiviti negatif.