KUALA LUMPUR: Parti Pekerja Malaysia tidak boleh dijenamakan semula
sebagai Parti Amanah Negara (Amanah) kerana ia bukan parti politik
tetapi sebuah parti yang memperjuangkan hak pekerja.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata oleh
itu, Gerakan Harapan Baru (GHB) tidak boleh menggunakan nama Amanah
sebagai nama rasmi wadah politik mereka selagi perlembagaan parti
pekerja itu tidak dipinda dan mendapat kelulusan Pendaftar Pertubuhan
(RoS).
"Sekarang ini mereka tiada rumah (parti). Ingin pakai rumah orang lain.
Parti pekerja bukan parti politik. Kalau mereka ingin teruskan
(jenamakan semula Parti Pekerja dan) pakai nama Amanah, mereka kena ubah
(pinda) perlembagaan Parti Pekerja.
"Mereka juga kena ubah sistem pentadbiran Parti Pekerja dan tunjukkan
terlebih dulu kerja pentadbiran untuk membuktikan mereka mewakili sebuah
parti politik dan bukannya parti pekerja," katanya.
Beliau diminta mengulas kenyataan Pengerusi GHB Mohamad Sabu pada Isnin
lepas yang mengumumkan akan menukarkan nama Parti Pekerja-Pekerja
Malaysia kepada Parti
Amanah Negara (Amanah) sebagai nama rasmi wadah politik gerakan itu.
Bekas timbalan presiden PAS yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu itu
berkata GHB mengambil alih Parti Pekerja-pekerja Malaysia, dan butiran
mengenai penjenamaan semula itu akan diserah kepada RoS secepat mungkin
bagi mendapatkan kelulusan.
Nur Jazlan yang juga ahli Parlimen Pulai berkata Amanah juga perlu
melalui proses lantikan dalaman seperti keahlian, pengisian jawatan, dan
sekurang-kurangnya perlu mengadakan mesyuarat parti.
Beliau berkata setelah selesai proses tersebut, barulah Amanah boleh
mendaftar diri ke RoS untuk kelulusan dan sebarang tindakan lanjut.
Sehingga kini, Nur Jazlan berkata RoS belum menerima permohonan pendaftaran parti Amanah tersebut.
Sebelum ini, GHB mengemukakan untuk mewujudkan parti politik baharu
dengan menggunakan nama Parti Progresif Islam (PPI), bagaimanapun RoS
menolak permohonan itu.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga
menteri dalam negeri, sebelum ini dilaporkan berkata permohonan itu
ditolak kerana Islam hak untuk semua orang yang beragama Islam dan
penggunaan nama Islam pada parti politik boleh menyebabkan kekeliruan.
No comments:
Post a Comment