Oleh: Nadia Hanafi
PETALING JAYA- KEADILAN meminta kerajaan membatalkan
hasrat membeli kapal perang pengangkut helikopter daripada Perancis
seperti dilapor majalah The International Business Times bertarikh 26
Ogos lalu.
Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, akhbar antarabangsa
turut melaporkan Menteri pertahanan Perancis, Jean Yves zle Drian bakal
mengadakan perjumpaan dengan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin
Hussien dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Berita-berita
ini padan dengan desas-desus bahawa lawatan menteri pertahanan Perancis
itu adalah untuk merundingkan penjualan sebuah kapal perang kelas
mistral kepada kerajaan Malaysia.
“Kini, pentadbiran beliau dilaporkan ingin membeli sebuah kapal
perang yang dibina untuk negara lain semasa ekonomi negara merudum,”
katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, di sini.
Menurutnya, kapal yang dinamakan Sevastopol dan Vladivostok itu
sepatutnya diserahkan kepada kerajaan Rusia pada tahun 2014 dan 2016.
Namun, katanya, ia tergendala apabila kerajaan Perancis membatalkan
kontrak penjualan itu ekoran rekod buruk hak asasi manusia kerajaan
Rusia.
Rafizi juga berkata, kapal perang mistral itu dianggar berharga
sekitar USD600 juta pada 2012 dan sekarang mencecah RM2.6 bilion dengan
mengambil kira kadar harga dan matawang terkini.
“Mengambil kira kontrak penyenggaraan dan bantuan teknikal yang
selalunya bernilai ratusan juta, saya menganggarkan pembelian ini boleh
memakan RM3 bilion dana rakyat.
“Ini tidak termasuk pembelian helikopter yang diperlukan sebagai
melengkapkan kapal perang mistral ini,” katanya yang juga Ahli Parlimen
Pandan.
Beliau turut mempersoalkan mengapa kerajaan berniat membeli sebuah
kapal perang yang direka untuk armada laut Rusia di mana strategi
persenjataan begitu berlainan daripada Malaysia.
“Bukankah lebih baik sebarang tempahan kapal baru mesti mengikut strategi jangka panjang tentera Malaysia?,” ujarnya.
Justeru itu, Rafizi menyeru Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan
menjawab persoalan mengenai pembelian itu dalam sesi parlimen Oktober
ini.
“Berapakah kos keseluruhan pembelian kapal ini termasuk pembelian
helikopter dan kontrak-kontrak bantuan teknikal? Jumlah ini perlu
dibentangkan kepada rakyat sebelum sebarang kuputusan dibuat,” tegasnya.
No comments:
Post a Comment