Wednesday, September 2, 2015

MAHATHIR MEMANG MAHU DITANGKAP POLIS....

shahbudindotcom


 
 
 
Kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad sebanyak dua kali dalam Bersih 4 bukan saja mengundang perhatian ramai serta kecaman daripada para pemimpin UMNO, tetapi turut memancing tindakan pihak polis untuk menyiasatnya. 

Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar mengesahkan bahawa bekas Perdana Menteri itu akan disiasat mengenai kehadirannya dalam perhimpunan tersebut serta dakwaan yang dibuatnya berkaitan rasuah terhadap pemimpin tertentu dalam UMNO.

Katanya, pihak polis akan mendapatkan maklumat lanjut berkaitan dakwaan yang dibuat oleh Tun Mahathir itu.

Selain itu, terdapat juga pemimpin UMNO yang mahukan beliau diambil tindakan berikutan kehadiran dalam Bersih 4 yang disifatkan sebagai tindakan bersekongkol dengan gerakan parti-parti pembangkang untuk menumbangkan kerajaan BN.

Malah ada yang menyarankan agar dalam mesyuarat MT UMNO pada 9 September ini, bukan saja Muhyiddin Yassin yang banyak membangkitkan mengenai 1MDB dan  derma RM2,600 juta yang diterima Najib, diambil tindakan pemecatan keahliannya sebagai ahli parti, tetapi patut melibatkan Tun Mahathir juga.

Bagi kebanyakan pemimpin UMNO yang pro Najib, serangan dan kritikan Tun Mahathir jauh lebih serius berbanding apa yang dilakukan oleh Muhyiddin.

Berhadapan kemungkinan akan dipecat bersama-sama Muhyiddin pada 9 September ini, Tun Mahathir juga sebenarnya akan berhadapan penyiasatan oleh pihak polis kerana kehadirannya dalam perhimpunan Bersih 4 baru-baru ini.

Apakah Tun Mahathir takut dengan semua tindakan itu dan beranikah Najib bertindak demikian?

Melihat kepada gerakan Tun Mahathir untuk menurunkan Najib daripada jawatannya sejak lebih setahun yang lalu, yang jelas beliau kini sudah sampai ke peringkat sanggup melakukan apa saja bagi mencapai matlamat dan tujuannya itu.

Menyerang melalui media, menulis di blog, memulaukan program melibatkan Najib, menjelajah ke beberapa negeri, mahu undi tidak percaya diusulkan di Parlimen dan akhirnya turun ke perhimpunan Bersih 4 adalah isyarat jelas mengenai kesediaannya melakukan apa saja untuk menjatuhkan Najib.

Selepas ini, percayalah,  lebih banyak tindakan mengejutkan bakal diambilnya demi meneruskan tekanan dan menghakis kepercayaan rakyat terhadap Najib.

Ketika di Bersih 4 baru-baru ini, antara serangan Tun Mahathir terhadap Najib ialah rosaknya sistem undang-undang yang ditunjukkan melalui pemecatan Peguam Negara, pembubaran pasukan petugas khas, gangguan terhadap Gabenor Bank Negara, ancaman terhadap siasatan SPRM dan menggagalkan peranan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara atau PAC yang dilakukan semata-mata untuk menyelamatkan kedudukannya.

Dengan semua tindakan itu, kata-kata "tunggulah siasatan dahulu" atau "tunggulah laporan audit" sebelum meneruskan kecaman terhadap 1MDB dan Najib seolah-olah sudah tidak bermakna apa-apa lagi.

Dengan menghadiri Bersih 4, bahkan melakukannya sebanyak dua kali, Tun Mahathir kini bukan saja menunjukkan kebersamaannya untuk sehati dan sejiwa dengan rakyat, bahkan sedang cuba membuktikan kebenaran dakwaannya bahawa Najib sanggup melakukan apa saja melalui cengkaman undang-undang kepada sesiapa juga untuk terus kekal berkuasa.

Jika tangkapan dilakukan terhadap Tun Mahathir, bermakna benarlah semua semua dakwaannya selama ini.

Disiasat dan ditangkap polis serta dipecat daripada UMNO tidak lain adalah kemahuan Tun Mahathir sendiri untuk lebih menjadikan Najib kian ditolak rakyat. Jika ketika era Tun Abdullah dulu, beliau bertindak keluar UMNO sebagai klimaks meneruskan tekanan, pengorbanannya sekarang beralih agar dipecat dan ditangkap pula atas arahan Najib.

Tun Mahathir sekarang seperti sedang menari dan mengalunkan muzik agar Najib dan para pemimpin UMNO turut melangkah dan menggoyangkan mengikut irama yang diorkestrakan olehnya. 

Memecat dan menangkap Tun Mahathir bukan saja menyebabkan rakyat lebih memihak kepadanya, bahkan ahli dan penyokong UMNO di peringkat akar umbi juga akan lebih berpecah kerananya.

Kiranya Najib merasakan beliau mampu bertahan sehingga tarikh PRU 14 akan datang sebelum menyerahkan kepada rakyat membuat penentuan, memecat dan menangkap Tun Mahathir akan membuatkan "tarikh perginya" lebih awal daripada itu.

Membiarkan Tun Mahathir bebas lepas dan terus-terusan menyerang Najib tanpa diambil apa-apa tindakan pula, khususnya berkaitan 1MDB dan derma RM2,600 juta akan membuatkan Najib lebih sukar berhadapan rakyat dalam pilihanraya akan datang.

Secara nyatanya, Najib sebenarnya semakin tidak mempunyai pilihan lagi dalam berhadapan dengan Tun Mahathir ini.

No comments: