"Saya boleh menghargai kekecewaan sahabat-sahabat daripada PSM yang terkilan dengan alasan yang dikatakan menjadi punca PSM tidak dijemput menyertai Pakatan Rakyat (PR) atau Pakatan Harapan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, ahli Parlimen Sepang itu mempertahankan rakan seperjuangannya dan mengatakan PSM agak keterlaluan dalam membuat pertuduhan.
Bekas pemimpin PAS itu berkata, beliau percaya Ong dan Khalid hanya menyampaikan maklumat yang disampaikan kepada mereka.
"Saya percaya mereka berdua tidak mempunyai niat untuk memalukan PSM atau menipu atau apa niat buruk yang lain.
"Oleh itu apabila ada sahabat-sahabat PSM menggunakan istilah tipu atau bohong (lies)'kepada kedua-dua sahabat saya itu, bagi saya ,ia satu kenyataan yang agak ‘strong’ dan adalah lebih baik ia tidak dikeluarkan sebegitu," katanya.
Beliau berkata tuduhan sebegitu tidak harus dilemparkan terutama kepada Khalid, kerana selama ini ahli Parlimen Shah Alam itu selalu mempertahankan Pengerusi PSM Dr Mohd Nasir Hashim daripada pemimpin tertinggi PAS.
Hanipa berkata, tindakan Khalid yang seringkali mempertahankan Nasir menyebabkan ahli Parlimen Shah Alam itu turut menerima tempias.
"Khalid Samad sendiri antara individu yang banyak mempertahankan Nasir dalam isu Kota Damansara meskipun beliau terpaksa berhadapan dengan para pemimpin PAS termasuk pemimpin tertinggi yang cuba bersungguh mengetepikan Nasir dengan pelbagai tuduhan tuduhan yang berbentuk ‘hearsay’ dan tidak dibuktikan.
"Khalid boleh dikatakan konsisten mempertahankan Nasir meskipun menjadi mangsa tomahan tomahan negatif daripada bekas parti beliau," katanya.
Hanipa berharap salah faham yang berlaku antara pemimpin PSM dan Pakatan Harapan dapat diselesaikan secara baik.
Semalam PSM dilaporkan berang dengan tindakan 2 ahli Parlimen Pakatan Harapan yang didakwa berbohong berkenaan alasan parti itu tidak dijemput menyertai gabungan baharu pembangkang.
Bekas setiausaha agung PSM, S Arutchelvan berkata Khalid dan Ong dalam laporan Malaysiakini mendakwa partinya kekal tidak dijemput sejak pembentukan Pakatan Rakyat lagi kerana mereka tidak bersetuju dengan Perkara 153 yang diangkat dalam Dasar Bersama dahulu.
Menurut Arutchelvan, perkara itu tidak benar sama sekali malahan PSM dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-13 secara terang-terangan mengangkat manifesto Pakatan Rakyat dan Buku Jingga PKR.
No comments:
Post a Comment