MALAYSIAKINI
Satu lagi kem transit pemerdagangan manusia dikesan di Hutan Simpan Mata
Ayer di Lubuk Sireh terletak kira-kira 100 meter dari sempadan
Thailand.
Kem yang lengkap dengan pelbagai kemudahan yang dilengkapi dengan
generator dan empangan kecil, amat berbeza dengan kem transit yang
ditemui di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, menurut Menteri di Jabatan
Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang meninjau ke kawasan
itu semalam.
Menurut Shahidah berkata beliau terkejut kerana kem transit itu dibina
dengan cantik dan rapi serta lengkap dengan kemudahan seperti surau dan
empangan kecil.
"Kelengkapan seperti generator, kain kafan, tikar sembahyang, telekung
dan kebun sayur juga kelihatan di seolah-olah ada satu komuniti di situ.
Sama ada wujud penyeksaan itu kita tunggu polis siasat," katanya kepada
pemberita selepas meninjau kawasan penempatan itu semalam.
Shahidan berkata bentuk kem sementara itu kelihatan seperti kem tentera
Viet Cong dan jarak antara kem tersebut dengan kem di Bukit Wang Burma,
Wang Kelian itu mengambil masa lebih dua jam dengan berjalan kaki.
"Keluasan kawasan itu lebih separuh daripada keluasan padang bola dan
saya percaya ia bukan dibina rakyat Malaysia berdasarkan reka bentuk dan
keadaan sekeliling," katanya.
Shahidan berkata kem itu kini dikawal rapi oleh Pasukan Gerakan Am (PGA)
bagi memastikan tidak ada pihak mencuri bahan bukti dan sehingga pihak
forensik dan polis mengenal pasti perkara yang berkaitan.
Sementara itu, 35 rangka manusia dipercayai mangsa sindiket
pemerdagangan manusia yang dijumpai di hutan Bukit Wang Burma di Wang
Kelian telah di bawa ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, Kedah
untuk proses patologi.
Setakat ini, sebanyak 139 kubur di 28 kem sementara sindiket
pemerdagangan manusia ditemui antara Kampung Wai di Kuala Perlis hingga
Tangga 100 di Felcra Lubuk Sireh, Padang Besar, sepanjang 11 kilometer.
Sementara itu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapat maklumat bahawa
individu yang terlibat dengan kem dan pembunuhan berkenaan dipercayai
bersembunyi di Ranong, Thailand bersempadan dengan Kawthoung di Myanmar.
Ranong terletak di sepanjang Pantai Andaman Utara di Selatan Thailand
dan mudah diakses melalui bot dari Kawthoung, Myanmar sekali gus menjadi
pilihan sindiket untuk melakukan kegiatan pemerdagangan manusia.
Dalang terlibat dipercayai warga Thailand mengelak dikesan pihak
berkuasa, baik dari Malaysia dan Thailand yang terus memperhebat operasi
menjejakinya di Ban Ta Lok, Padang Besar, tempat kubur besar
mengandungi enam mayat, dipercayai mangsa pemerdagangan manusia
ditemui.
Keseriusan Polis Thailand menjejaki mereka yang terlibat terserlah
dengan 81 waran tangkap telah dikeluarkan setakat ini temasuk empat
waran tangkap baru hari ini.
Kira-kira 51 suspek telah ditangkap sementara 30 orang lagi masih bebas
dan Polis Thailand sedang memburu saki-baki suspek di Songkhla, Satun
dan Ranong.
UAE beri bantuan
Sementara itu, Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyokong kuat inisiatif
Malaysia dalam menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada golongan
pendatang, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.
Perkara ini telah disampaikan kepada Anifah yang sedang dalam lawatan
rasmi ke Abu Dhabi selama dua hari sejak Jumaat lepas semasa pertemuan
dua hala dengan rakan sejawatnya, Sheikh Abdullah Zayed Al Nahyan di
Kementerian Luar UAE, kata kenyataan Wisma Putra semalam.
Ia berkata Sheikh Abdullah juga melahirkan kesediaan UAE untuk bekerjasama dalam menghulurkan bantuan kemanusiaan.
Anifah di dalam pertemuan itu bertukar pandangan dengan rakan
sejawatannya mengenai isu pergerakan pendatang asing tanpa izin di Asia
Tenggara dan
menegaskan selaku Pengerusi ASEAN, Malaysia akan menangani isu ini
terutamanya keperluan bantuan kemanusian yang mendesak dalam kalangan
pendatang.
Semasa pertemuan itu, kedua-dua menteri membincangkan isu dua hala dan
perkara yang menarik perhatian bersama di rantau ini terutamanya
berkenaan umat Islam.
Kenyataan itu berkata Anifah juga mencari lebih ruang untuk kerjasama
dengan sasaran untuk meluaskan hubungan yang sedia ada dengan UAE.
"Lawatan itu sememangnya meningkatkan ikatan hubungan bilateral buat sekian lama yang rapat antara Malaysia dan UAE," katanya.
- Bernama
No comments:
Post a Comment