SHAH ALAM – Seorang bayi dipercayai berusia 12 bulan hampir lemas ditinggalkan di dalam kereta sendirian hanya kerana ibunya terlupa menghidupkan enjin kereta.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang tadi, suasana kecoh apabila orang ramai mula mengerumuni kereta dipercayai jenis Perodua Myvi selepas mendapati terdapat seorang bayi ditinggalkan sendirian.
 
Kejadian dipercayai berlaku di hadapan sebuah bank di Seksyen 9 di sini dan turut dirakam.
 
Ekoran video yang mula viral di laman sosial, rata-rata orang ramai menyatakan kemarahan dan rasa geram dengan tindakan ibu bapa bayi tersebut.
 
Berdasarkan rakaman video berdurasi satu minit 39 saat itu, bayi berkenaan dikatakan dalam keadaan kepanasan dan menggigil akibat ditinggalkan dalam keadaan enjin dimatikan, sementara kereta berkunci.
 
Orang ramai yang bimbang akan keselamatannya bertindak memecahkan cermin sisi kereta apabila cubaan membuka pintu menggunakan beberapa peralatan gagal.
 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, tiada laporan polis dibuat mengenai insiden berkenaan di mana-mana balai polis di bawah Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.
 
“Hasil maklumat orang ramai, ibu bayi tersebut tiba sebaik bayinya diselamatkan.
 
“Ibu bayi berkenaan mengaku terlupa menghidupkan enjin kerana tergesa-gesa mahu menyelesaikan urusan ringkas di kawasan berkenaan,” katanya.
 
Tegasnya, sikap terburu-buru dan sambil lewa boleh membawa padah dek kerana kecuaian dan kesilapan diri sendiri.

"Terima kasih kepada masyarakat yang prihatin. Nyawa yang berharga berjaya diselamatkan,” katanya.