PETALING JAYA: Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yakin mempertahankan
jawatannya itu pada pemilihan parti Khamis ini kerana, kata beliau,
perwakilan akan memilih calon yang mesra Pakatan Rakyat.
Kemungkinan Mat Sabu kecundang heboh diperkatakan setelah ahli politik
berusia 60 tahun itu hanya memperolehi 12 pencalonan berbanding 94 yang
diperolehi oleh pencabarnya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam saingan
dua penjuru.
“Saya yakin perwakilan akan memilih saya berasaskan prestasi kerja saya, “ akhbar The Star memetik beliau sebagai berkata.
“Saya yakin saya akan diberi peluang (untuk terus memegang jawatan
Timbalan Presiden). Ini kerana selama ini saya mempertahankan parti dan
mendokong dasar-dasar parti selaras dengan al-Quran dan sunnah,” tambah
Mat Sabu.
Walaupun mendapat jumlah pencalonan rendah, Mat Sabu berkata
kemungkinan beliau kalah pada Khamis ini tidak pernah terlintas dalam
hatinya.
“Anda boleh tanya soalan (mengenai kalah pada pemiihan) jika betul saya
kalah. Sekarang ini saya hanya fikirkan akan menang,” katanya.
Mat Sabu dilihat menerajui golongan profesional PAS yang berbalah
dengan golongan ulama mengenai hala tuju PAS, khususnya keahliannya di
dalam Pakatan Rakyat.
Pimpinan ulama PAS di bawah presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang di
tolak oleh DAP dan kalangan pemimpin PKR yang lebih mesra dengan Mat
Sabu.
Hadi sebelum ini memberi amaran bahawa pemimpin PAS tidak boleh
mengikut telunjuk DAP sehingga membelakangkan kepentingan parti mereka
sendiri.
Hadi akan dicabar oleh bekas naib presiden PAS Ahmad Awang, kali
pertama jawatan tertinggi PAS itu dipertandingkan sejak tahun 1973.
No comments:
Post a Comment