Monday, June 1, 2015

Kata Dua Letak Jawatan, Kenapa Najib Tak Sabar Tunggu Hasil Siasatan PAC?

shahbudindotcom


Sebagaimana telah menjadi bualan ramai sejak semalam, banyak tanda tanya timbul jika benar Perdana Menteri, Najib Razak sudah ada keberanian memberi kata dua kepada anggota kabinetnya agar meletakkan jawatan jika tidak bersamanya dalam isu 1MDB.

Najib dikatakan memberi kata dua itu sebaik Menteri Kewangan Kedua, Husni Handzlah selesai membentangkan pelan hala tuju 1MDB dalam mesyuarat kabinet, Jumaat lalu.

Dilaporkan juga, tiada ada seorang pun anggota kabinet yang menyatakan pendirian mereka tidak bersama Najib setelah diberi peluang berbuat demikian.

Bagaimanapun tidak pula dilaporkan sama ada setiap anggota kabinet diminta bercakap menyatakan pendirian masing-masing atau semua mereka hanya diam dan tidak memberi respon terhadap kada dua Najib itu.

Jika mereka diminta bercakap dan semua anggota kabinet menyatakan sokongan mereka, maka barulah ia boleh dianggap pendirian rasmi ingin terus bersama dengan Najib dalam kemelut 1MDB ini tetapi kiranya sekadar diam dan tidak memberi respon terhadap kata dua itu, tafsirannya boleh jadi berbagai.

Diam atau tidak memberi respon mungkin disebabkan ada anggota kabinet merasakan belum waktunya berbuat demikian, sedang menanti masa yang sesuai, mahu menunggu maklumat lebih detail mengenai 1MDB dan pelbagai lagi.

Atau mungkin juga ada yang beranggapan, "tak kuasa nak layanlah".

Selain diketahui umum beberapa anggota kabinet tidak sebulu dengan Najib dalam menangani isu 1MDB ini, bukan saja daripada UMNO, malah ada menteri MCA yang mengatakan terdapat hal berkaitan syarikat pelaburan itu tidak pernah dibincangkan dalam kabinet sebelum ini, mesyuarat kabinet Jumaat lalu juga tidak dihadiri oleh beberapa menteri.

Antara menteri yang dikesan tidak hadir ialah Muhyiddin Yassin dan Ahmad Zahid Hamidi kerana kedua-duanya berada di luar negara.

Jadi, kenapa Najib memberi kata dua itu ketika Muhyiddin terutamanya, tidak hadir dalam mesyuarat? Mungkin ada baiknya jika beliau berani mengulangi lagi kata dua itu ketika Muhyiddin hadir dalam mesyuarat kabinet akan datang.

Kiranya lebih berani, Najib juga seharusnya mengucapkan secara terbuka di khalayak ramai meminta menteri yang tidak bersetuju dengannya agar meletakkan jawatan sebagaimana yang dilakukan oleh Tun Mahathir sebelum pemilihan 1987 dulu.

Selain itu, kenapa Najib tergesa-gesa memberi kata dua ini sedangkan Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara atau PAC belum pun habis melaksanakan kerja mereka?

Kenapa tidak tunggu kedua-dua laporan itu disiapkan dahulu? Apakah dengan memberi kata dua ini bermakna Najib yakin kedua-dua siasatan oleh Ketua Audit Negara dan PAC bakal memihak kepadanya?

Tidakkah sebelum ini Najib dan para pengampunya selalu meminta para pengkritik 1MDB agar bersabar menunggu laporan audit dan siasatan PAC?

Bagaimana pula jika kedua-dua laporan itu nanti mendapati banyak yang tidak kena dalam perjalanan harian, urusniaga dan pelaburan 1MDB itu?

Adakah jika laporan itu tidak memihak kepadanya, Najib selaku Perdana Menteri dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB, sebagaimana termaktub dalam fasal 117 M & A syarikat pelaburan itu yang menghendakinya memberi kebenaran bertulis atas sebarang urusniaganya, mahu meletakkan jawatan secara sukarela pula?

Walaupun ada yang berpendapat kata dua Najib itu menunjukkan beliau sudah tidak boleh menahan sabar lagi dengan kritikan dan serangan Tun Mahathir terhadapnya serta mahukan pasukan kabinetnya betul-betul padu di belakangnya, ia sebenarnya belum tentu menjamin kemenangan berpihak kepadanya.

Kata dua ini mungkin merupakan tanda-tanda awal meletusnya perang yang lebih besar dalam UMNO. Dalam hal ini Najib hanya dilihat ingin mempertahankan kedudukannya sedangkan keyakinan ramai mengenai UMNO dan BN mampu menang dalam pilihanraya akan datang semakin menipis hari demi hari.

Ini bermakna jika ada pemimpin UMNO atau anggota kabinet yang mula bertindak berani memisahkan dirinya daripada menyokong Najib, habuan  menerima sokongan yang melimpah dari peringkat bawahan dan pertengahan dalam UMNO sedang menunggu mereka.

Berdasarkan klip video ucapan Muhyiddin di Janda Baik yang tersebar luas adalah bukti nyata isu 1MDB ini tidak menggembirakan majoriti ahli UMNO dan mereka yang berani menyanggah Najib akan menerima lautan sokongan dan dianggap hero dalam menyelamatkan masa depan UMNO serta BN.

Najib pula, dengan mula memberi kata dua, isyaratnya tidak lain ialah beliau semakin terdesak dan kehilangan idea lain untuk menyelamatkan kerusi Perdana Menteri dan Seri Perdana yang didiaminya.
 
 

No comments: