MALAYSIAKINI
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengarahkan semua ADUN PAS di
Selangor memberi sokongan kepada Menteri Besar Azmin Ali demi
mempertahankan kerajaan negeri yang dibina atas kepercayaan rakyat.
Beliau berkata kerjasama PAS dengan rakan komponen Pakatan Rakyat di
negeri itu dalam kerangka mengekal kedudukan kerajaan memerintah dan
meneruskan khidmat kepada rakyat.
"Sehubungan dengan itu juga, PAS Pusat telah pun memberikan arahan
kepada Datuk Iskandar Abdul Samad selaku pesuruhjaya PAS Selangor yang
juga merupakan Exco Kerajaan Negeri Selangor untuk mengarahkan seluruh
Ahli Dewan Undangan PAS Negeri Selangor supaya terus bersama dengan
Datuk Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali bagi meneruskan khidmat
kepada rakyat dan seterusnya mengekalkan kedudukan kerajaan yang
memerintah Selangor pada waktu ini," katanya.
Berikut adalah kenyataan penuh Hadi:-
Kepimpinan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sesungguhnya menyedari bahawa
iklim kerjasama yang dibina dalam Pakatan Rakyat pada waktu ini adalah
pada tahap yang paling mencabar dan berdepan dengan perbezaan prinsip
yang memerlukan penyelesaian yang adil bagi memenuhi aspirasi seluruh
rakyat yang mahukan perubahan.
Bagi PAS, muafakat asal yang dibina adalah kebersamaan dalam perkara
yang dipersetujui dan menjadi kepentingan bersama, manakala dalam masa
yang sama mengiktiraf kewujudan perbezaan pandangan dan prinsip
perjuangan parti masing-masing dalam kalangan parti dalam Pakatan Rakyat
(PR).
Pendirian PAS terhadap kerjasama dalam PR adalah sebagaimana yang
dinyatakan dalam Ucapan Dasar Presiden PAS sempena Muktamar Tahunan PAS
yang baharu sahaja berlangsung. Antaranya dinyatakan dengan jelas,
bahawa “PAS akan terus dan tetap melaksanakan Tahaluf Siyasi bersama
Pakatan Rakyat, selagi mana ianya tidak bercanggah dengan panduan
al-Quran dan as-Sunnah”; dan juga nyata termaktub dalam Perlembagan PAS
[Fasal 7(1)] bahawa hukum tertinggi dalam perlembagaan PAS ialah
al-Quran, as-Sunnah, Ijma’ ulama dan Qiyas.
Ingin saya pertegaskan bahawa, kerjasama PAS dengan komponen dalam PR di
Selangor adalah dalam kerangka untuk mempertahankan kerajaan yang
dibina bersama melalui kepercayaan rakyat.
Sehubungan dengan itu juga, PAS Pusat telah pun memberikan arahan kepada
YB Datuk Iskandar Abdul Samad selaku Pesuruhjaya PAS Selangor yang juga
merupakan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan
(Exco) untuk mengarahkan seluruh Ahli Dewan Undangan PAS Negeri Selangor
supaya terus bersama dengan YAB Datuk Menteri Besar Selangor, Mohamed
Azmin Ali bagi meneruskan khidmat kepada rakyat dan seterusnya
mengekalkan kedudukan kerajaan yang memerintah Selangor pada waktu ini.
No comments:
Post a Comment