Monday, June 1, 2015

Cabar menteri jawab Dr Mahathir, kata Zainuddin kepada Najib

 THE MALAYSIA INSIDER Bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin berkata, cabaran Datuk Seri Najib Razak meminta menteri Kabinet meletak jawatan sebagai tindakan merugikan kerana beliau tidak akan tahu siapa antaranya yang benar-benar ikhlas menyokong beliau menangani isu 1MDB. – Gambar fail The Malaysian Insider, 1 Jun, 2015.Bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin berkata, cabaran Datuk Seri Najib Razak meminta menteri Kabinet meletak jawatan sebagai tindakan merugikan kerana beliau tidak akan tahu siapa antaranya yang benar-benar ikhlas menyokong beliau menangani isu 1MDB. – Gambar fail The Malaysian Insider. 



Tan Sri Zainuddin Maidin hari ini menggesa Datuk Seri Najib Razak mencabar anggota Kabinetnya membalas serangan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bukannya meminta mereka meletak jawatan sekiranya tidak bersetuju dengan pelan pemulihan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas menteri penerangan itu berkata, Najib pasti tidak akan tahu siapa antara menteri yang sebenarnya tulen dan ikhlas menyokong beliau menangani 1MDB dengan mencabar mereka meletak jawatan kerana mustahil mereka akan berbuat demikian.

"Sebaliknya beliau mestilah mencabar mereka supaya tampil ke hadapan menyerang balas Dr Mahathir di TV3 dan di akhbar seperti yang dilakukan Pengerusi BNBBC Tan Sri Sharir Abdul Samad atau Presiden Mubarak Abdul Aziz Abdul Rahman," tulisnya di blognya hari ini.


Utusan Malaysia melaporkan hari ini, Najib pada Jumaat memberi kata dua kepada mana-mana anggota Kabinet yang tidak menyokongnya dalam usaha memulihkan syarikat sarat hutang 1MDB, untuk meletak jawatan.

Memetik sumber, akhbar milik Umno itu melaporkan, beliau membuat kenyataan itu sejurus selepas Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah selesai membentangkan pelan hala tuju 1MDB kepada anggota Kabinet pada mesyuarat itu.

Bagaimanapun, difahamkan tiada seorang pun anggota Kabinet berani tampil menyatakan pendirian mereka untuk tidak bersama Najib walaupun diberi peluang berbuat demikian.

"Perdana menteri meminta mana-mana anggota Kabinet yang tidak bersama dengan beliau dalam isu 1MDB meletakkan jawatan tetapi tiada seorang pun berbuat demikian," sumber itu dipetik berkata.

Zainudin berkata Timbalan Presiden Umno merangkap Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin; Naib Presiden Umno merangkap Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal serta Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang juga menteri belia dan sukan, sepatutnya mendahului Sharir dalam berbuat demikian.

"Dengan itu tidaklah Najib berada dalam krisis keyakinan diri yang amat runcing," katanya.

Beliau berkata, anggota Kabinet harus sedar serangan balas Sharir tidak begitu berkesan kerana beliau diketahui umum "sedarah, sejiwa, sebulu dengan (Tun) Musa Hitam menyimpan dendam kesumat sekian lama terhadap Dr Mahathir."

"Dan sokongannya juga tidak dilihat sebagai sokongan generasi muda seperti sokongan yang terlihat kepada Dr Mahathir, sekalipun beliau sudah tua," katanya.

Shahrir pada 26 Mei berkata di lobi Parlimen, sekiranya menteri tidak bersetuju dengan keputusan kolektif yang dibuat semasa mesyuarat Kabinet, mereka perlu meletak jawatan.

Beliau bersetuju dengan saranan Tengku Razaleigh Hamzah yang seluruh Kabinet harus mengambil tanggungjawab dalam skandal 1MDB kerana prinsip Kabinet ialah tanggungjawab bersama.

Zainuddin berkata, mereka yang setakat ini berani menyuarakan bantahan kepada Dr Mahathir hanya mereka yang kini tidak lagi berkuasa atau berintegriti.

"Yang jelas kerap terpampang di akhbar perdana dan di TV3 menjadi suara berani menyerang balas Dr Mahathir bagi mempertahankan kepimpinan Najib dalam masalah IMDB terdiri daripada orang yang sudah hilang autoriti dan integriti, yang menyeleweng daripada parti asal atau daripada parti yang sudah bankrap, orang yang tidak lagi diterima bukan sahaja rakyat biasa, tetapi dipandang serong orang Umno sendiri.

"Juga menjadi persoalan besar mengapakah Zahid, naib presiden nombor satu, seorang yang paling popular dalam parti, tidak jelas pendiriannya.

"Jika hanya sampah-sampah yang jelas menyokong maka akhirnya Najib akan tenggelam dalam timbunan sampah," kata Zainuddin.

Oleh itu, katanya, lebih baik menteri Kabinet menyerang balas Dr Mahathir daripada meletak jawatan yang hanya akan memecahkan belahkan parti dan kerajaan.

Janganlah biarkan Najib kelihatan oleh rakyat keseorangan dalam perjuangan mempertahankan diri, katanya.

No comments: