MALAYSIAKINI
Anggota pasukan Polis Marin Lans Koperal Zakia Aleip, yang diculik
sekumpulan lapan lelaki bersenjata ketika melakukan rondaan di sebuah
resort di Pulau Mabul, Semporna pada 12 Julai lepas, dibebaskan hari
ini, demikian diumumkan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.
Pengumuman itu dibuat dalam sidang akhbar di Sandakan yang turut
dihadiri Zakia, yang baru tiba di Sandakan pagi ini dari Selatan
Filipina, dengan menaiki bot.
"Kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan usaha berterusan
kerajaan melalui perundingan, berkat doa semua pihak dan kesabaran serta
ketabahan ahli-ahli keluarga, maka usaha membebaskan beliau telah
berhasil.
"Saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pasukan keselamatan
kita yang telah berusaha sedaya upaya sehingga memastikan pembebasan
Zakiah," katanya.
Musa berkata beliau telahpun menghubungi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memaklumkan perkembangan itu.
Musa berkata Najib merakamkan rasa gembira dengan berita pembebasan ini
dan mengucapkan terima kasih kepada pasukan keselamatan yang berusaha
sedaya upaya untuk membebaskan Zakia.
Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan negeri dan Kawasan
Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), beliau menyeru anggota
keselamatan agar sentiasa bersiap siaga dalam apa jua keadaan.
Tegasnya ini bagi memastikan agar keselamatan dan keamanan Sabah dan
rakyat sentiasa terpelihara daripada sebarang ancaman keselamatan
khususnya di kawasan perairan negara.
Dalam kejadian pukul 11.10 malam itu, Koperal Ab. Rajah Jamuan, 32, mati
ditembak manakala Zakia diculik oleh kumpulan berkenaan ketika mereka
sedang menjalankan tugas rondaan di resort itu.
Ab Rajah terbunuh dalam kejadian itu.
- Bernama
No comments:
Post a Comment