Sharifah
Erna Berson, isteri anggota pasukan Polis Marin Lans Koperal Zakia
Aleip, yang dibebaskan penculik hari ini, bersyukur dengan berita
pembebasan itu.
Ketika dihubungi Bernama di rumahnya di Tamparuli, Sharifah Erna, 23,
berkata dia dimaklumkan tentang pembebasan suaminya itu oleh polis
menerusi telefon.
"Saya hanya dimaklumkan berkenaan pembebasan suami saya dan tidak
mengetahui di mana dia berada ketika ini," katanya yang menzahirkan rasa
syukur sambil menitiskan air mata dan tidak sabar-sabar menunggu
kepulangan suaminya.
Menurutnya, pembebasan suaminya itu pasti menggembirakan anak lelaki
mereka, Mohd Hisham Izzudin, yang genap usia setahun pada 5 Mac.
Pada 12 Julai tahun lepas, Zakia, 26, diculik sekumpulan lapan lelaki
bersenjata dalam kejadian di sebuah resort di Pulau Mabul, Semporna.
Zakia menjadi mangsa culik keempat selepas insiden penculikan di
Singamata Adventures Reef and Resort di Semporna, Pulau Baik, Lahad Datu
dan di Kampung Sapang, barat Pulau Timbun Mata, Kunak.
No comments:
Post a Comment