Oleh Shahbudin Husin
Isu hudud yang timbul sekarang mencetuskan gelora yang sukar dijangka apa kesudahannya dalam Pakatan Rakyat, terutama melibatkan hubungan antara Pas dengan DAP. Walaupun PKR, sebuah lagi komponen dalam PR turut tidak bersetuju dengan hudud dan terbuka menyatakan tidak akan mengundi usul persendirian mengenainya di Parlimen, tetapi ia tidak merenggangkan hubungannya dengan Pas.
Yang nampak bermasalah hanya antara Pas dengan DAP saja. Selain DAP sudah menyatakan hilang kepercayaan terhadap Presiden Pas, Haji Hadi Awang, parti itu di Sarawak bertindak lebih ke depan dengan memutuskannya dengan Pas. Pas pula melalui beberapa pemimpinnya, turut membalas dengan agak keras tindakan DAP itu.
Ini memberi bayangan bahawa
menjelang pilihanraya negeri Sarawak yang bakal berlangsung
selewat-lewatnya tahun depan, PR negeri itu tidak lagi sekukuh sebelum
ini untuk berhadapan dengan BN negeri pimpinan Ketua Menteri, Tan Sri
Adenan Satem. Sudah tentu ini merupakan berita gembira bagi BN Sarawak.
Namun
demikian, perbalahan antara Pas dengan DAP di peringkat Pusat tidak
seharusnya dibiarkan terus berpanjangan, jauh sekali jika sampai
membawa perpecahan. Mereka boleh berbalah, berbeza pendapat atau
bersetuju untuk tidak bersetuju dalam beberapa perkara, tetapi hubungan
sebagai rakan gabungan dalam PR haruslah dipertahankan.
Walaupun
PKR sedang berusaha untuk menjadi orang tengah dan menjernihkan apa
juga kekusutan yang timbul, khususnya berkaitan isu hudud, yang jauh
lebih penting lagi ialah Pas dan DAP harus sama-sama menyejukkan kepala
dan tidak saling tuduh-menuduh serta bersikap keras antara satu sama
lain.
Pas dan DAP harus mengutamakan
harapan rakyat yang ketika ini relatifnya tinggi terhadap PR untuk
membawa perubahan, pembaharuan dan menyelamatkan masa depan negara ini.
Rakyat secara umumnya, apabila melihat satu demi satu isu timbul
seperti 1MDB, pembelian jet, pembaziran dan pengurusan negara yang
lemah, semakin nipis harapan mereka kepada BN untuk terus mentadbir
negara ini.
Terutama di bawah
kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ini, kegusaran umum
ialah jika BN terus diberikan kuasa ia mungkin akan menyebabkan lebih
banyak isu melibatkan pembaziran, kemewahan dan penyalahgunaan kuasa
akan muncul lagi selepas ini.
Sebab
itu, harapan rakyat kepada PR sebenarnya adalah tinggi. Tetapi
perbalahan terbuka sesama rakan gabungan dalam PR sedikit-sebanyak juga
menghampakan harapan rakyat. Mereka inginkan perubahan tetapi PR yang
disandarkan harapan itu pula seperti berkecamuk dan sering berbalah
sesama sendiri.
Dalam hubungan ini PR
seharusnya menyedari harapan tinggi yang ada di hati rakyat itu. Pas
dan DAP terutamanya, dalam mereka ghairah mempertahankan prinsip serta
memperjuangkan kepentingan masing-masing, keinginan mempertahankan
kedudukan PR sebagai pesaing kepada BN mestilah diutamakan.
Tidak
salah berbeza pendapat, waima berbalah sekali pun tetapi ia tidak
harus sampai kepada perpecahan. Apa yang berlaku di Sarawak diharapkan
tidak merebak ke negeri atau peringkat yang lain.
Selain
itu, tindakan saling mencabar keluar PR antara Pas dan DAP haruslah
juga dihentikan. Mereka haruslah menyelesaikan perbezaan dengan
perbincangan dan mencari titik persamaan seboleh yang mungkin dan
bukannya dengan cuba menjarakkan lagi hubungan sesama sendiri.
Walapun
sehingga ini, baik Pas mahupun DAP masih mahu bertahan dalam PR tetapi
usaha mengukuhkan lagi peranan masing-masing dalam PR mestilah bukan
saja sentiasa tertanam dalam hati, bahkan juga mesti dizahirkan melalui
perbuatan.
Pas dan DAP tidak harus
menjadi entiti yang mengecewakan harapan rakyat. Dengan banyak isu yang
melanda negara, pimpinan kerajaan masih leka dan tidak mahu berubah
memperbaiki nilai kepimpinan mereka, ditambah pula merengkoknya Ketua
Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam penjara yang boleh
meningkatkan lagi simpati rakyat, kelebihan memang sedang bersama-sama
PR.
Kelebihan juga kepada PR ialah
melalui tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad yang terus
mengkritik dan tidak bersetuju dengan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Razak yang ditakrifnya lemah dan membawa lebih banyak
kemudaratan kepada rakyat.
PR mesti
melihat semua kelebihan ini dengan rasional dan tidak emosional. Tiada
gunanya terus berbalah sehingga pecah tetapi akhirnya mengecewakan
harapan rakyat. Adalah lebih penting ruang perbincangan dan kesepakatan
atas nama mengutamakan kepentingan rakyat sentiasa didahulukan
berbanding semua perkara lain yang ingin diperjuangkan.
Rakyat
sudah menunjukkan keinginan dan iltizam ke arah perubahan melalui
sokongan undi popular dalam pilihanraya umum lalu. Jika harapan itu
dikecewakan sedangkan keinginan mereka terus membara sekarang ini, PR
akan menghadapi kesukaran meraih kepercayaan rakyat di masa akan
datang.
Sejauh mana mahu berbeza dan
berbalah sekali pun, berpecah mesti dijauhkan kerana ia akan
menghancur-leburkan sama sekali harapan rakyat. Siapa lagi, kalau bukan
rakyat yang perlu diutamakan?
No comments:
Post a Comment