Friday, March 6, 2015

Kehadiran Anwar Ibrahim ke sidang Dewan Rakyat




Oleh Dr Afif Bahardin


Pemuda Keadilan tegas dengan pendirian Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini dipenjarakan di Penjara Sungai Buloh, seorang tahanan politik. Penahanan beliau merupakan satu kes ketidakadilan yang nyata di negara kita.

Malah, badan hak asasi manusia seperti Amnesty International turut mengklasifikasikan Anwar sebagai “prisoner of conscience”. Pengarahnya, Richard Bennett mengeluarkan kenyataan keputusan pemenjaraan melibatkan Anwar bermotifkan politik.

Selain itu, pendakwaan ke atasnya mengikut Kanun Keseksaan hanya satu helah untuk melakukan penindasan politik. Penolakan permohonannya menghadiri sesi sidang Dewan Rakyat yang akan datang adalah satu lagi bentuk pencabulan hak dan mencemari amalan demokrasi di negara kita.


Anwar sewajarnya dibenarkan menghadiri Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen ke-13 yang akan bersidang pada 9 April 2015. Proses rayuan pengampunan ke atasnya yang disabit dengan kesalahan meliwat dan dihukum 5 tahun penjara sudah bermula dengan penyerahan petisyen oleh isteri dan anak-anaknya kepada wakil Istana Negara pada petang Isnin 24 Februari, 2015. Perkara 48 (4)(c) dalam Perlembagaan menjelaskan seseorang ahli Parlimen hanya hilang kelayakan setelah petisyen yang dikemukakan itu ditolak.

Anwar wakil bagi seluruh masyarakat di Permatang Pauh dan seluruh rakyat Malaysia sebagai ketua pembangkang. Maka, permohonannya wajar dipertimbangkan semula agar beliau dapat hadir dan membahaskan ucapan pembukaan Yang di-Pertuan Agong selaku ketua pembangkang. Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi tidak wajar berselindung di sebalik penjawat awam dengan menggunakan mereka untuk menolak permohonan pihak Anwar untuk menghadiri sesi sidang Dewan Rakyat ini.

Kenyataan tiada negara yang pernah membenarkan tahanan politik menghadiri sidang Parlimen, menunjukkan kecetekan minda sesetengah individu dalam urusan ini. Beberapa keadaan, di mana seseorang ahli Parlimen yang dipenjarakan hadir ke mahkamah pernah berlaku. Sebagai contohnya,
pada 11 Oktober, 2011, sebuah mahkamah Ukraine menjatuhkan hukuman 7 tahun penjara kepada  ketua pembangkang Ukraine, Yulia Tymoshenko selepas mendapati beliau bersalah dalam menyalahgunakan jawatannya semasa menjadi broker urus janji gas 2009 dengan Rusia, tetapi beliau dibenarkan menghadiri sidang parlimen negara tersebut.

Perkara ini hak seorang tahanan politik selagi mana tidak ada undang-undang atau keputusan akhir untuk menggugurkan kelayakan beliau sebagai seorang ahli Parlimen.

Tindakan terbaru menteri ini, bukti jelas Umno dan Barisan Nasional (BN) sememangnya memilih untuk menjayakan konspirasi politik yang jahat ini demi menafikan hak Anwar untuk mewakili rakyat Malaysia.

Hakikatnya Umno dan BN terlalu takut untuk berdepan dengan beliau dan ini usaha untuk menyekat beliau daripada menyuarakan kritikan ke atas pentadbiran kerajaan BN hari ini.

Pemuda PKR mencabar menteri dalam negeri tampil ke khalayak mengemukakan hujah dan alasan penolakan permohonan Anwar menghadiri sesi sidang Dewan Rakyat.

No comments: