TUMPAT: Kerajaan Kelantan meminta majikan pengundi berdaftar bagi
Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor di
luar Kelantan memberi pelepasan kepada pekerja mereka untuk pulang
mengundi pada 25 September ini.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata
kebenaran daripada majikan adalah penting kerana hari mengundi pada
Khamis itu adalah hari bekerja di negeri lain.
"Di Kelantan tidak ada masalah kerana semalam, kerajaan negeri telah
mengumumkan cuti peristiwa pada 25 September ini sempena PRK itu,"
katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Katanya, pelepasan majikan itu dapat meningkatkan peratusan orang
keluar mengundi dan menyuburkan lagi sistem demokrasi negara ini.
Terdapat 24,039 pemilih berdaftar bagi kawasan DUN Pengkalan Kubor yang
terletak dalam kawasan Tumpat. Daripada jumlah itu lebih 1,700 pengundi
berada di luar kawasan DUN berkenaan.
PRK DUN Pengkalan Kubor akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru
antara calon Barisan Nasional (BN), Mat Razi Mat Ail; calon PAS, Wan
Rosdi Wan Ibrahim; dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary.
Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Noor
Zahidi Omar, 57, daripada BN akibat kanser hati pada 20 Ogos lepas.
Pada Pilihan Raya Umum lalu, Noor Zahidi mengalahkan calon PKR, Saharun
Ibrahim dan Izat Bukhary (Bebas) dengan majoriti 1,736 undi.
No comments:
Post a Comment