Friday, September 19, 2014

Penegasan Presiden resahkan musuh PAS

NAZRI ABDULLAH|FOTO WAN ZAHARI



 

BATU PAHAT: Penegasan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tentang beberapa isu melalui Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Tahunan PAS ke-60 pagi tadi disifatkan berjaya 'membunuh' persepsi negatif terhadap PAS.

Naib Presiden PAS Salahudin Ayub berkata, penegasan bahawa PAS akan terus bersama Pakatan Rakyat selagi syarat persepakatan tidak dilanggar, dan tidak sesekali akan bersama Umno tentu meresahkan beberapa pihak menabur 'api fitnah' itu.

"Penegasan itu sekaligus 'membunuh' segala persepsi dan tohmahan kita akan bersama Umno," katanya.

Mengulas lanjut, Salahudin yang juga Pengerusi Lujnah Pemerkasaan Parti berkata, adalah penting bagi ahli diseluruh peringkat memahami bahawa pada tahap ini PAS tidak mungkin meninggalkan Pakatan Rakyat.

Namun begitu ujarnya, seperti yang dipertegas oleh Ustaz Abdul Hadi bahawa PAS akan sentiasa membaiki segala kekurangan dan memposisikan diri dalam Pakatan Rakyat.

Mengulas tema 'Terus Beristiqamah' pada Ucapan Dasar Presiden kali ini Salahudin berkata, adalah penting bagi ahli untuk terus kekal dalam bahtera ini sama ada pada waktu senang mahupun susah.

"Presiden cuba mengutarakan penegasan tentang keutuhan parti bukan individu. Penting supaya setiap ahli berada dalam bahtera perjuangan walau dalam apa keadaan senang mahupun susah, damai atau kritikal.

"Walaupun ada tak setuju dengan beberapa keputusan atau ucapan kepimpinan, konsep istiqamah itu kekal dan jangan sesekali tinggal perjuangan.

"Ini yang saya faham dari konsep istiqamah itu dengan pengalaman saya sendiri tiga dekat dalam perjuangan ini," katanya.- HARAKAHDAILY

No comments: