HARAKAH DAILY
KUALA LUMPUR: Rakyat menaruh harapan yang cukup
tinggi untuk melihat sebuah Pakatan Rakyat (PR) yang utuh dan kuat untuk
terus membela dan memartabatkan hak mereka.
Sehubungan itu,
Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengambil maklum pandangan serta kritikan
oleh Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam ucapan
penangguhan pada Muktamar Tahunan PAS ke-60 di Batu Pahat kelmarin
dengan penuh keterbukaan.
Timbalan
ketuanya, Dr Afif Bahardin berkata tahaluf siyasi atau kerjasama
politik sewajarnya dilandaskan di atas nilai kebersamaan dan kepercayaan
sebagaimana yang telah dipersetujui di awal pembentukan Pakatan Rakyat
iaitu untuk memperjuangkan prinsip keadilan dan kebebasan di Malaysia
dalam kerangka yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
"Maka
sewajarnya semangat dan matlamat ini digarap dan dihidupkan semula demi
memulihkan kembali hubungan dua hala yang kini kelihatan keruh di
antara parti PAS, DAP dan Keadilan," ujarnya dalam satu kenyataan.
Menurutnya,
rentetan beberapa isu sejak Pilihan Raya Umum Ke-13 termasuk masalah
pertindihan kerusi di antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat, Kajang
Move, hudud dan krisis pelantikan Menteri Besar Selangor telah
mengakibatkan perbezaan pendirian di antara parti-parti bertukar menjadi
krisis dan pergeseran terbuka sesama pemimpin.
Beliau menambah,
ini seterusnya mengundang tafsiran serong di mata rakyat serta
menjejaskan reputasi para pimpinan Pakatan Rakyat ke tahap yang cukup
membimbangkan.
"Justeru, kami dengan penuh rasa hormat dan rendah
diri memohon agar barisan kepimpinan Pakatan Rakyat agar segera mencari
titik persamaan dengan kembali ke meja rundingan dan mengangkat
semangat muafakat sebagai teras untuk mengukuhkan semula Pakatan
Rakyat," katanya yang juga Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Justeru,
tambahnya PAS, DAP dan Keadilan perlu bersatu dan kembali kepada mauduk
asal Pakatan Rakyat iaitu untuk menegakkan keadilan dan kebebasan demi
membentuk sebuah negara Malaysia yang gagah.
"Kami juga
berpandangan Pakatan Rakyat juga perlu memulakan inisiatif baru dengan
mengalu-alukan penglibatan parti-parti politik lain di seluruh negara
termasuk parti-parti dari Borneo untuk berganding bahu untuk mendepani
Umno Barisan Nasional dalam pilihan raya umum akan datang," ujarnya
lagi. - HARAKAHDAILY
No comments:
Post a Comment