MALAYSIAKINI
Ibu kepada calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pengkalan Kubor,
Mat Razi Mat Ail kecewa dengan serangan peribadi oleh pihak tertentu
terhadap anaknya.
Habsah Ismail, 65, melahirkan kekecewaannya apabila ada pihak yang
memfitnah Mat Razi yang baginya merupakan seorang anak yang baik.
"Tak patut timbul isu ini dan serangan peribadi macam itu, dia baik dan
tiap kali ada kematian atau tahlil memang orang akan panggil dia untuk
membacakan doa," katanya kepada pemberita di rumahnya di Kampung
Simpangan di Tumpat, hari ini.
Habsah berkata anaknya adalah tulang belakang bagi mereka sekeluarga dan
Mat Razi memang seorang yang patuh kepada agama dan meminati pengajian
Islam.
Sebelum ini, calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim, 56, mempertikaikan gelaran
"ustaz" kepada Mat Razi dan menyifatkan bekas penolong pegawai
pendidikan daerah Tumpat itu tidak layak dipanggil ustaz kerana pernah
bekerja sebagai penjawat awam dan berpakaian formal ketika bertugas.
Sebuah akhbar tempatan hari ini melaporkan kelmarin sebuah blog
menyebarkan dakwaan Mat Razi mempunyai hubungan sulit dengan bekas
pelajarnya.
Habsah berkata dia berharap orang ramai dapat memberi peluang kepada anaknya menabur bakti di kawasan itu.
"Saya telah berpesan kepada Mat Razi, jika sudah terpilih menjadi wakil
rakyat, tanggungjawab dan amanah orang jangan diabaikan serta perjuangan
agamanya perlu diperkukuhkan lagi," katanya.
Katanya, anak sulungnya daripada 10 adik beradik itu meminta pendapatnya
terlebih dahulu apabila mengetahui terpilih sebagai calon BN.
Habsah berkata Mat Razi mungkin mengikut jejak ayahnya yang telah
meninggal dunia empat tahun lepas, Mat Ail Awang Besar dalam perjuangan
politik.
"Arwah ayahnya dulu pun sentiasa bergerak dalam parti tetapi dia hanya
di peringkat kampung, kiranya dia ikut jejak ayah dia la. Kami sokong
apa yang dia (Mat Razi) lakukan kerana kami sekeluarga sokong BN sejak
dahulu lagi... BN sokmo-sokmo (selalu)," katanya.
PRK itu membabitkan pertandingan tiga penjuru antara Mat Razi, calon PAS Wan Rosdi dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.
PRK itu diadakan berikutan kematian Anggota Dewan Undangan Negeri
Pengkalan Kubor Datuk Noor Zahidi Omar pada 20 Ogos lepas dan
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 25 Sept ini sebagai hari mengundi.
Pada pilihan raya umum ke-13, Noor Zahidi mengalahkan calon PKR Saharun
Ibrahim dan Izat Bukhary (Bebas) dengan majoriti 1,736 undi.- Bernama
No comments:
Post a Comment