Roketkini.com
KUALA LUMPUR : Masalah kebocoran kertas
peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi mata pelajaran
Sains dan Bahasa Inggeris tahun ini menyebabkan ibu bapa dan penjaga
pelajar hilang keyakinan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia.
Ahli Parlimen Serdang Ong Kian Ming berkata, kecuaian
Lembaga Peperiksaan memberi kesan kepada 472,853 pelajar Darjah Enam
yang sedang menduduki peperiksaan UPSR di seluruh negara.
“Kesan yang terbesar ialah keyakinan para ibu bapa dan
pelajar yang semakin merudum terhadap kerajaan dalam memastikan
kerahsiaan dan integriti kertas peperiksaan daripada dibocorkan.
“Pelajar-pelajar yang telah bersiap sedia daripada aspek
mental untuk menamatkan peperiksaan UPSR dalam masa tiga hari kini
terpaksa menunggu selama tiga minggu lagi,” kata Kian Ming dalam satu
kenyataan.
Pada 10 September, Kementerian Pelajaran menangguhkan tiga
kertas peperiksaan UPSR mata pelajaran Sains – 018, 028 dan 038 yang
dijadualkan semalam kepada 30 September 2014.
Akibat penangguhan itu kata Kian Ming menyebabkan ibu bapa
dan penjaga yang telah merancang aktiviti musim percutian bersama
keluarga terpaksa menyusun semula perancangan mereka.
Dalam pada itu kata Kiang Ming, masalah kebocoran kertas
peperiksaan tersebut tidak hanya selesai dengan permoohonan maaf Tan Sri
Muhyiddin Yassin yang merupakan Menteri Pelajaran Malaysia.
Dalam masa sama Muhyiddin tidak memberi jaminan bahawa
kertas peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), Sijil Pelajaran
Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia tidak akan bocor.
“Integriti dan keselamatan kertas peperiksaan PT3, SPM dan
STPM lebih penting. kerana sekiranya berlaku kebocoran keputusan
mengambil semula atau menangguhkan peperiksaan tidak relevan
memandangkan masa yang terhad pada akhir tahun 2014,” ujarnya.
Mengulas kebocoran kertas UPSR bagi mata pelajaran Sains
dan Bahasa Inggeris melalui telefon pintar dan teknologi salinan
‘softcopy’, Kian Ming berkata Lembaga Peperiksaan perlu bekerja keras
bagi memastikan integriti dan keselamatan kertas peperiksaan tersebut.
Beliau bimbang kertas peperiksaan dimuat turun ke dalam
komputer guru-guru di sekolah-sekolah dan menjadikan mereka sasaran
mudah penggodam serta pihak tidak bertanggungjawab yang berniat
‘mencuri’ kertas peperiksaan untuk kepentingan komersial dan peribadi.
Dalam pada itu Kian Ming turut mengingatkan Kementerian
Pelajaran pernah mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas berperanan
menyiasat laporan berhubung kebocoran kertas peperiksaan SPM pada 2013.
“Sekiranya jawatankuasa khas ini telah melaksanakan tugas
mereka dengan baik, bukankah cadangan ataupun tindakan proaktif telah
dirancang untuk mengelak kebocoran kertas peperiksaan UPSR pada tahun
ini?, katanya. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment