Roketkini.com.
KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
(DBKL) gagal melaksanakan dasar tender terbuka apabila ‘memilih’
syarikat Profit Consortium Sdn Bhd untuk membangunkan semula projek
Plaza Rakyat.
Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng berkata, DBKL
bertanggungjawab memberi penjelasan berhubung penganugerahan projek ini,
kerana dibimbangi wujud unsur rasuah.
“Tindakan DBKL memberikan projek berbilion ringgit di pusat
bandar Kuala Lumpur kepada syarikat milik bekas tentera tanpa sebarang
tender menyebabkan kita sangsi.
“DBKL perlu memberi penjelasan, demi kepentingan rakyat
kenapa perkara sebegini boleh terjadi?, kata Lip Eng dalam satu
kenyataan.
Akhbar The Star sebelum ini melaporkan DBKL gagal
melakukan penawaran secara terbuka kepada pihak-pihak lain yang berminat
sebelum bertindak memberikan projek tersebut kepada Profit Consortium
Sdn Bhd.
Tegas Lip Eng, tindakan itu bercanggah dengan dasar Bidang
Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bahawa semua perolehan kerajaan
menggunakan tender terbuka atau pun tender terhad bagi projek tertentu.
“Mesyuarat Kabinet pertama selepas Pilihanraya Umum ke-13
memberikan gambaran indah kepada kita bahawa kerajaan Barisan Nasional
menjamin proses pentadbiran yang telus,” kata Lip Eng.
Namun kata Lip Eng DBKL sendiri gagal menerapkan prinsip
‘penyertaan dan ketelusan’ orang ramai seperti yang ditetapkan pihak
berkuasa itu dalam perkara Agenda Tempatan 21.
“Saya menuntut supaya Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri
Ahmad Phesal Talib supaya segera mengadakan sidang media bagi memberi
penjelasan dan membuka ruang soal jawab kepada wartawan mengenai
pemberian projek tersebut.
“Sekiranya gagal, ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat Kuala
Lumpur pastinya akan membangkitkan hal ini di sidang Parlimen bulan
hadapan.
“Datuk Bandar mesti menjelaskan apa sebabnya projek ini
dianugerahkan kepada syarikat yang mempunyai hubungan dengan ahli
politik kerajaan Barisan Nasional tanpa sebarang tender,” tegasnya –
Roketkini.com.
No comments:
Post a Comment