KOTA KINABALU: Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Kadazandusun Murut
Sabah (Pekadin) menggesa pihak berkuasa supaya mengambil tindakan tegas
terhadap mereka yang didapati bersalah membocorkan kertas peperiksaan
Science 018, 028, 038 bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014.
Naib Presiden Pekadin, Simon Molubi berkata, ini penting bagi
memastikan perkara seumpama itu tidak berulang selain memberi pengajaran
kepada semua.
Pekadin juga berharap Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) selaku pihak
yang bertanggungjawab dapat menjalankan siasatan rapi dan menyeluruh,
dan seterusnya membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan.
"Mengurus peperiksaan awam UPSR bukanlah mudah. Banyak kos yang perlu
digunakan terutama di Sabah dan Sarawak yang mempunyai sekolah yang jauh
atau terpencil di pedalaman dan pengangkutan yang sukar.
"Tentu sekali kerajaan menanggung kerugian untuk mencetak semula kertas
peperiksaan baharu dan mengurus peperiksaan yang tertangguh. Sebab itu,
Pekadin menyarankan agar tindakan yang keras diambil demi menjaga
integriti peperiksaan awam di negara ini," katanya dalam kenyataan di
Kota Kinabalu hari ini.
Simon berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Perdana
Menteri merangkap Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung
perkara itu di Tumpat, Kelantan semalam.
Muhyiddin dipetik sebagai berkata bahawa beliau dukacita kertas
peperiksaan Science 018, 028, 038 bagi UPSR 2014, yang sepatutnya
diduduki calon hari ini, bocor sehingga terpaksa ditangguhkan ke 30 Sept
ini.
Timbalan Perdana Menteri turut meminta maaf kepada calon dan ibu bapa mereka.
Lembaga Peperiksaan dalam kenyataan semalam mengumumkan kertas
peperiksaan itu ditangguh setelah kandungan soalannya didapati bocor.- Bernama
No comments:
Post a Comment