MALAYSIAKINI
Tan Sri Khalid Ibrahim yang akan melepaskan jawatannya sebagai menteri
besar masih mempunyai kuasa eksekutif dan oleh itu tidak timbul soal
berhubung ketidaksahihan perjanjian air yang akan ditandatanganinya,
kata penasihat undang-undang negeri.
Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman (bawah) berkata, ekoran perkenan
sultan yang mengekalkan Khalid sehingga menteri besar baru dilantik,
beliau masih boleh menjalankan kuasa penuh melaksanakan tugas, fungsi
dan tanggungjawabnya.
“Sehubungan
itu, soal ketidaksahihan apa-apa tindakan atau keputusan yang dibuat
oleh menteri besar Selangor berkaitan dengan apa-apa perkara termasuk
kapasiti untuk menandatangani perjanjian air bagi pihak kerajaan negeri
Selangor dengan kerajaan Persekutuan adalah tidak berbangkit
memandangkan tindakan-tindakan ini masih dalam lingkungan bidang kuasa
eksekutif menteri besar dan mengikut lunas-lunas perundangan negeri,”
katanya.
Kenyataan Nik Suhaimi itu diedarkan kepada media oleh pejabat menteri besar Selangor hari ini.
Anggota parlimen Klang Charles Santiago kelmarin berkata, Khalid tidak
patut menandatangani perjanjian industri air antara Selangor-Pusat
kerana beliau kini seorang menteri besar sementara.
Sementara itu, Nik Suhaimi berkata, keputusan sultan menangguhkan
penerimaan peletakan jawatan Khalid wajar dijunjung demi memastikan
pentadbiran negeri lancar dan teratur.
“Selain diakui mengenai prinsip demokrasi yang memberi kebebasan
bersuara namun adab, tatatertib dan hak DYMM Sultan Selangor bawah
Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959 perlu dihormati demi
kesejahteraan negeri dan tidak wajar dipertikaikan oleh mana-mana
pihak,” katanya.
Khalid: Hati-hati keluar kenyataan
Sementara itu, pejabat menteri besar pula berkata, Khalid menasihatkan
ahli politik supaya lebih berhati-hati dan membuat kajian ilmiah sebelum
mengeluarkan kenyataan masing-masing.
Ini, menurut kenyataan itu, bagi mengelakkan kekeliruan dan pandangan
serong masyarakat terhadap pihak lain dan kepada mereka sendiri.
No comments:
Post a Comment