PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam memperoleh kebenaran Mahkamah Majistret Petaling Jaya untuk melanjutkan tempoh reman ke atas 11 pegawai kastam pelbagai pangkat bagi membantu siasatan kes berkaitan penyeludupan barang-barang yang tidak dibayar duti kastam.
Semalam, mahkamah juga membenarkan tahanan reman selama tujuh hari ke
atas seorang lagi pegawai kastam yang ditahan semalam. Dia ditahan di
Pejabat SPRM Kuala Lumpur.
Enam daripada 11 pegawai kastam dilanjutkan reman selama tujuh hari
termasuk seorang "Datuk" dan empat lagi disambung reman sehingga esok.
Dalam pada itu, seorang lagi pegawai yang juga bergelar "Datuk" disambung reman selama enam hari.
Perintah itu dikeluarkan oleh Majistret Mohd Nazri Omran bagi
membolehkan siasatan dijalankan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Penggubahan Wang Haram dan Pembiayaan
Keganasan 2010.
Seramai 12 pegawai kastam ditahan reman selama tujuh hari mulai 4
September lalu.Semalam SPRM memohon untuk melanjutkan tahanan reman.
Mereka ditahan dalam operasi khas pada 3 September lalu di Lembah Klang
dan Ipoh, Perak.
Seorang lagi pegawai kastam yang ditahan reman sejak 4 September lalu dibebaskan semalam tanpa syarat.
Kesemua mereka berusia antara 35 hingga 58 tahun dan salah seorang merupakan pengarah kastam negeri.
Pegawai-pegawai yang ditahan itu dibawa ke Kompleks Mahkamah Petaling Jaya pada pukul 10.25 pagi semalam dengan sebuah bas.
Semalam, SPRM diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Anthony Kevin Morais
manakala kesemua pegawai kastam diwakili barisan peguam diketuai oleh
Gerard Lazarus.
No comments:
Post a Comment