KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat hari ini mendesak Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Razak menjelaskan maksud sebenar istilah pesawat MH370
"berakhir di Selatan Lautan Hindi" seperti dalam kenyataan medianya pada
24 Mac lalu.
Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang berkata ini kerana kenyataan
perdana menteri itu bersifat kabur dan boleh mencetuskan pelbagai
spekulasi liar mengenai insiden itu.
Sebaik
sahaja Najib mengumumkan MH370 berakhir di Selatan Lautan Hindi, media
baik tempatan atau antarabangsa bingkas menyimpulkan seolah-olah pesawat
itu terhempas dan kemungkinan penumpang bersama anak kapal untuk terus
hidup adalah terlalu tipis.
Malah ada sesetengah stesen tv tempatan menyiarkan laporan ala-ala 'belasungkawa' mangsa-mangsa yang terlibat.
Namun tidak kurang juga terdapat laporan yang mengatakan pesawat itu
telah dirampas dan selamat mendarat di suatu tempat yang tidak
diketahui, sebelum pesawat itu dicampakkan ke dalam laut.
Justeru, bagi Pakatan Rakyat, adalah menjadi keperluan untuk Najib
menjelaskan dengan lebih spesifik, apakah mesej yang cuba disampaikan
pada sidang medianya baru-baru ini.
"Sebenarnya kenyataan perdana menteri pada 24 Mac lalu ialah bahawa
pesawat telah mengakhiri penerbangan sangat jelaslah apa ertinya
(terhempas)," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.
MH370 sepatutnya mendarat di Beijing selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 8 Mac lalu.
Namun pesawat itu hilang jejak selepas hilang dari radar menara kawalan sekitar jam 1.30 pagi.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar juga turut
mempersoalkan adakah kerajaan akan mengambil tindakan terhadap media
yang bertindak menyiarkan berita seolah-olah pesawat MH370 itu
terhempas, selepas mendengar pengumuman daripada Najib.
"Saya nak adakah kerajaan juga akan mengambil tindakan kepada
media-media termasuk media dalam negara kita yang membuat liputan
daripada kenyataan Perdana Menteri yang mengatakan MH370 itu berakhir di
Lautan Hindi, yang kebanyakan media dalam negara memberi gambaran
seolah-olah pesawat itu terhempas," katanya
"Antaranya Metro yang mengatakan bahawa 'Pusara di Lautan Hindi' seolah-olahnya terhempas dan pusara itu di lautan," jelasnya.
Sehubungan itu, Mahfuz mahu perdana menteri tampil memperjelaskan apakah maksud sebenar kenyataan beliau pada 24 Mac yang lalu.
"Ini menimbulkan persoalan apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan
'berakhir di Lautan Hindi'itu? Adakah masih terawang-awang ataupun
bagaimana? Jadi, harus diperjelaskan, diperincikan seperti mana yang
dijanjikan oleh PM tetapi tidak diperincikan tentang apa yang
dimaksudkan beliau bahawa ia berakhir di lautan Hindi," tegasnya lagi.
Selain itu, Mahfuz juga menggesa kerajaan untuk mendedahkan bilakah
kerajaan menghubungi Rolls-Royce dan Boeing bagi mendapatkan maklumat
siasatan berhubung MH370.
"Saya
nak minta penjelasan kerana sebelum ini kerajaan ada menyatakan mereka
telah mendapatkan maklumat-maklumat tertentu daripada perkhidmatan
pembekal dan apakah yang mereka maksudkan dengan perkhidmatan pembekal
itu? soalnya.
"Adakah ini perkhidmatan pembekal dari Boeing dan Rolls-Royce? Jadi,
saya nak minta juga bilakah kerajaan menghubungi Boeing dan Rolls-Royce
untuk mendapatkan maklumat penyiasatan," katanya.
Selain itu dalam perkembangan yang berkaitan, Kit Siang berkata
pemimpin Pakatan Rakyat akan diberikan taklimat berhubung kehilangan
pesawat Penerbangan Malaysia MH370 pada 8 April ini dan berkemungkinan
besar akan disertai oleh Najib.
Menurut Kit Siang lagi persetujuan itu dicapai antara beliau dan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim selepas
sesi asal yang sepatutnya berlangsung semalam dibatalkan.
Bagaimanapun, lokasi taklimat itu masih belum diputuskan.
"Tadi kita ada bincang dengan Shahidan dan dia kata dia bersedia untuk
membuat taklimat itu pada minggu depan hari Selasa oleh perdana menteri
atau (Datuk Seri) Hishammuddin Hussein.
"Kita harap kali ini taklimat ini akan berlangsung," tambah Kit Siang.
Pakatan Rakyat sebelum ini membidas kerajaan Persekutuan kerana hanya
memberi taklimat bersabit insiden MH370 kepada ahli Parlimen Barisan
Nasional (BN).
Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Hussien
memberitahu, jika pembangkang perlu memohon untuk mendengar taklimat itu
sepertimana yang di buat kelab penyokong kerajaan (BNBBC) sebelum ini.
No comments:
Post a Comment