Wednesday, April 30, 2014

Dasar anti-rasuah jadikan P Pinang pusat pelaburan


PenangBridge

GEORGE TOWN: Dasar anti-rasuah yang diamalkan kerajaan Pulau Pinang menjadikan negeri itu sebagai antara destinasi pelaburan utama di Malaysia.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, antara tekad utama Pakatan ketika mengambil-alih pentadbiran negeri pada tahun 2008 adalah membasmi rasuah yang merupakan musuh utama negara.

“Kerajaan negeri bertekad untuk membasmi ‘musuh awam nombor satu’. Selepas mengambil alih pentadbiran, kami memutuskan untuk menjalankan pemerolehan kerajaan melalui tender terbuka bagi menyingkirkan rasuah.

“Ia juga sebagai usaha kami meningkatkan keyakinan perniagaan di Pulau Pinang. Kami ingin masyarakat perniagaan tahu bahawa di sini, mereka beroperasi dalam suasana di mana projek diperolehi melalui idea terbaik dan bidaan yang berdaya saing,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis makan tengahari Economist Corporate Network di sini, semalam.

Katanya lagi, usaha itu ternyata berjaya apabila negeri itu menunjukkan peningkatan Pelaburan Langsung Asing (FDI).

Ketika sesi Parlimen Oktober tahun lalu, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Hamim Samuri menyebut bahawa Pulau Pinang mencatatkan FDI tertinggi untuk empat tahun terakhir, dengan jumlah pelaburan RM19.7 billion bagi tempoh 2010 hingga Oktober 2013.

Menurut Guan Eng lagi, selain membasmi rasuah, Pulau Pinang juga berjaya menarik pelaburan dengan mengamalkan dasar tiada campurtangan daripada kerajaan dalam urusan perniagaan selain untuk menyediakan persekitaran perniagaan yang nyaman menerusi birokrasi yang cekap dan prasarana yang baik.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung DAP itu menyeru kerajaan Persekutuan agar mencontohi Pulau Pinang dalam membangunkan ekonomi negara, terutama untuk mengatasi masalah perangkap pendapatan sederhana (middle income trap).

“Malaysia tersekat dalam perangkap pendapatan sederhana. Negara tidak dapat bersaing dari segi teknologi dengan negara seperti Korea, dan dari segi kos tenaga kerja dengan negara seperti Vietnam.
“Maka, Malaysia, seperti Pulau Pinang, perlu suasana yang menyamankan untuk bakat, idea, modal dan perniagaan berkumpul dan melakukan inovasi untuk keluar daripada perangkap itu.

“Dasar kerajaan Pulau Pinang membebaskan suasana perniagaan dan menjadikannya berkembang. 
Maka dunia perniagaan harus mengalu-alukan pelaksanaan dasar-dasar sebegini di peringkat negara kerana faedahnya pasti akan berlipat-ganda,” katanya lagi.

Tinjauan Kementerian Sumber Manusia pada tahun 2012 [1] mendapati 75 peratus tenaga kerja mendapat gaji di bawah julat pendapatan sederhana (RM27,271 setahun) iaitu purata RM1,881 sebulan, dengan purata kenaikan hanya 2.4 peratus setahun. – Roketkini.com

No comments: