Tuesday, April 29, 2014

MH370: Malaysia-Australia bincang kos aset tambahan

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Malaysia akan berbincang dengan Australia mengenai kos yang melibatkan penambahan aset dalam operasi mencari pesawat MH370 di Lautan Hindi yang kini memasuki fasa kedua.
 
Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, persefahaman perlu diwujudkan dengan Australia mengenai pembiayaan aset berkenaan.
 
"Kita sedang menuju kepada fasa kedua pencarian. Kita perlu adil dengan Australia kerana kita masih lagi belum berbincang mengenai kewangan.
 
"Kini kita akan meneruskan operasi mencari ke dalam lautan dan kita perlu persefahaman dengan Australia dari segi pembiayaan aset-aset," jelas beliau selepas mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat dari Jepun, Itsunori Onodera di pejabat beliau di Kementerian Pertahanan.
 
Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata, isu berkaitan pembiayaan itu akan dibincangkan dengan jawatankuasa teknikal berkaitan MH370 hari ini.
 
"Perdana Menteri Australia, Tony Abbott semalam berkata mungkin visual pencarian daripada udara dan lautan dalam tidak sesuai kerana kekangan negara dan syarikat yang mempunyai peralatan canggih yang diperlukan.
 
"Inilah apa yang dilalui oleh Perancis semasa mencari pesawat Air France yang hilang lalu. Bila kita telah tahu aset yang diperlukan maka kita akan berapa kos yang diperlukan," jelasnya.
 
Sementara itu, Hishammuddin berkata, dakwaan syarikat penerokaan Australia yang kononnya mengesan bangkai sebuah pesawat di Teluk Bengala iaitu 5,000km dari lokasi pencarian pesawat MH370 di selatan Lautan Hindi akan dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa teknikal petang ini.
 
"Banyak sangat spekulasi di luar sana. Hendak layan semua adalah mustahil. Tapi percayalah misi mencari akan diteruskan dan kita akan umumkan apabila pengesahan dilakukan oleh pakar," tegas beliau.

No comments: