PERTH – Pesawat P-8 Poseidon milik tentera Amerika Syarikat (AS) yang
dilengkapi kamera definisi tinggi dan beberapa alatan pengesan canggih
dianggap sebagai pesawat peninjau paling moden di dunia.
Pada mulanya kehadiran kapal terbang canggih itu dianggap mampu
merungkai misteri kehilangan sebuah pesawat milik Sistem Penerbangan
Malaysia (MAS) sejak 8 Mac lalu.
Namun kemampuan P-8 Poseidon kini dilihat sebagai terbatas.
Tentera AS menghantar dua pesawat Poseidon yang dilengkapi kamera,
radar dan pengesan infra merah yang direka khas untuk mengesan objek di
dasar lautan.
Bagaimanapun, peralatan canggih tersebut tidak banyak membantu dalam misi mencari pesawat MH370.
Malah kru-kru Poseidon lebih banyak melihat dari tingkap pesawat untuk mengesan sebarang serpihan.
Seorang juruterbang P-8 Poseidon, Leftenan Komander David Mims berkata,
ini adalah kali pertama beliau berada di Lautan Hindi yang dianggap
kawasan pencarian paling mencabar untuk dirinya.
“Sangat ganjil apabila terbang di lautan ini kerana anda tidak melihat sebarang pulau dan juga kapal di laut.
“Di sini kosong, tiada apa di sini. Ia sangat ganjil,” katanya.
Pesawat MH370 yang membawa seramai 239 penumpang dan anak kapal itu
terhempas di selatan Lautan Hindi ketika dalam penerbangan dari Kuala
Lumpur menuju ke Beijing pada 8 Mac lalu.
Sehingga kini tiada serpihan pesawat itu dijumpai dan semua objek yang
dikesan oleh pesawat peninjau yang menyertai usaha mencari disahkan
sebagai sampah selain peralatan menangkap ikan. – Reuters
No comments:
Post a Comment