MALAYSIAKINI
Lanjutan dari pengumuman yang dibuat oleh menteri besar Kelantan
berhubung keputusan untuk membentangkan rang undang-undang persendirian
bagi membolehkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 atau
undang-undang hudud dikuatkuasakan di Kelantan, pelbagai pihak tampil
memberikan pandangan, sama ada pro atau kontra.
Sebagai sebuah parti yang sejak dari awal penubuhannya bergerak di atas
landasan demokrasi, PAS menghormati dan mengalu-mengalukan apa jua
pandangan dan kritikan yang diberikan.
Dalam hal ini, PAS juga ingin menyatakan kesediaan untuk berdialog
dengan mana-mana pihak yang ingin mendapatkan penjelasan atau memberikan
kritikan, teguran atau pandangan terhadap rang undang-rang undang yang
ingin dibentangkan dan juga terhadap enakmen kanun jenayah syariah
(hudud) yang ingin dikuatkuasakan.
Meskipun undang-undang hudud adalah undang-undang Allah yang
bersumberkan al-Quran dan Hadis, namun lantaran penguatkuasaannya
dilaksanakan oleh manusia, PAS akur bahawa sudah tentu terdapat
ruang-ruang yang boleh diperbaiki, baik dari aspek undang-undang
substantif mahupun dari aspek prosedural.
Dalam masa yang sama, PAS juga menyeru kepada pihak-pihak yang menentang
atau tidak bersetuju dengan penguatkuasaan undang-undang hudud ini
supaya sekurang-kurangnya menghormati hak demokratik PAS untuk
membentangkan rang undang-undang berkaitan di Parlimen.
PAS berulangkali menegaskan bahawa apa jua agenda dan dasar yang hendak
di bawa PAS, ianya tidak akan dipaksakan ke atas rakyat atau
dilaksanakan secara ‘pintu belakang’ melalui cara-cara yang diluar dari
kaedah Perlembagaan dan undang-undang.
Jika sekiranya ketentuan proses demokrasi tersebut tidak menyebelahi
kehendak PAS, kami akan akur dan bersedia menerima apa jua keputusan.
Jika dilihat dalam konteks penguatkuasaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah
Kelantan 1993 ini, PAS sebenarnya mempunyai pilihan untuk terus
menguatkuasakan Enakmen tersebut di Kelantan oleh kerana Enakmen ini
telah diluluskan melalui proses perundangan yang sewajarnya di dalam DUN
Kelantan lebih 20 tahun yang lalu.
Tak timbul pinda perlembagaan
Apatah lagi ianya hanya terpakai di Kelantan untuk orang Islam sahaja.
Bahkan terdapat pakar undang-undang seperti Profesor Dr Abdul Aziz Bari
yang berpandangan bahawa undang-undang hudud yang diluluskan ini adalah
berada di dalam bidang kuasa negeri sebagaimana Jadual 9 Perlembagaan
Persekutuan.
Oleh itu ianya tidak menceroboh bidang kuasa Persekutuan dan tidak tidak
timbul keperluan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan.
Namun, PAS menyedari bahawa amat perlu suatu langkah yang besar ini
mendapat legitimasi demokrasi melangkaui badan perundangan negeri
Kelantan di samping untuk memberi peluang kepada ruang perbahasan
nasional yang melibatkan semua pihak di dalam negara ini.
Oleh kerana itu, PAS memilih untuk membentangkan rang undang-undang
bawah Perkara 76A Perlembagaan Persekutuan agar Parlimen sendiri
memberikan kebenaran kepada DUN Kelantan untuk melulus dan seterusnya
melaksanakan Enakmen hudud tersebut.
Fakta ini sewajarnya direnungkan dan tidak disembunyikan oleh mereka
yang menggelarkan diri sebagai pejuang demokrasi tetapi begitu
bersungguh untuk menghalang PAS dari membentangkan rang undang-undang
berkaitan di Parlimen.
PAS juga menghormati ketetapan yang dibuat oleh parti dalam komponen
Barisan Nasional dan rakan komponen dalam Pakatan Rakyat yang tidak
bersetuju dengan undang-undang hudud ini atas alasan ia bercanggah
dengan Perlembagaan Persekutuan.
Sejak awal penubuhan Pakatan Rakyat, PAS sedia maklum pendirian
rakan-rakan Pakatan Rakyat tentang hudud dan rakan-rakan Pakatan Rakyat
juga telah sedia tahu bahawa hudud adalah antara perincian kepada agenda
perjuangaan Islam PAS yang mustahil untuk dikompromikan.
Namun, kerjasama yang dibina adalah berteraskan kepada agenda-agenda
yang dipersetujui bersama yang bilangannya jauh lebih banyak jika hendak
dibandingkan dengan agenda tunggal hudud (Enakman Kanun Jenayah Syariah
Kelantan 1993) yang merupakan agenda PAS secara solo yang diperjuangkan
PAS jauh lebih awal sebelum pembentukan kerjasama politik di dalam
Pakatan Rakyat.
Perbezaaan kecil
Oleh kerana itu, PAS tidak mempunyai sebab untuk memusuhi rakan-rakan
Pakatan Rakyat sekiranya mereka tidak bersetuju dengan PAS dalam soal
hudud ini dan mereka berhak untuk tidak menyokong rang undang-undang
yang akan Pas bawa di Parlimen kelak.
Perbezaan dalam soal hudud dengan rakan Pakatan Rakyat adalah terlalu
kecil jika hendak dibandingkan dengan komitmen dan iltizam Pakatan
Rakyat untuk membawa perubahan yang lebih baik dalam pemerintahan
negara.
Justeru, kita bersetuju untuk tidak bersetuju dalam soal hudud ini namun
ia tidak akan sesekali memecahkan kerjasama dalam Pakatan Rakyat yang
membawa amanah yang diberikan oleh rakyat.
Akhir sekali, PAS masih tertanya apakah sebenarnya pendirian Umno
terhadap Enakman Kanun Jenayah Syariah Kelantan 1993 (undang-undang
hudud). Peringkat awal dulu mereka begitu bersungguh mencabar PAS dan
menyatakan sokongan padu sekiranya PAS membawa perkara ini (rang undang
undang) ke Parlimen.
Tapi hipokrasi Umno terserlah apabila kerajaan Terengganu bawah Umno
menyekat usaha PAS untuk membawa usul perlaksanaan undang-undang hudud
di DUN Terengganu baru-baru ini.
Inilah sikap sebenar Umno terhadap Islam yang hanya menjadikan agama
sebagai alat politik dan juga bahan untuk melagakan seteru politik
mereka.
Dalam hal rang-rang undang-undang yang ingin dibawa PAS ke Parlimen ini,
presiden Umno wajar menyatakan pendirian dan sikap sebenar dengan
ikhlas dan berhenti dari berdolak dalik.
PAS bersedia memberi laluan kepada kerajaan untuk membawa cadangan
pindaan undang undang untuk membolehkan Kelantan melaksanakan Enakman
Kanun Jenayah Syariah 1993 secara demokratik dan sedia menerima apa pun
keputusan undian di Parlimen.
DATUK MAHFUZ OMAR adalah ahli parlimen Pokok Sena dan ketua penerangan PAS Pusat.
No comments:
Post a Comment