KEADILAN DAILY
KUALA LUMPUR : Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar secara sinis menyatakan dakwaan terhadap Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu atau dikenali sebagai Mat Sabu sebagai pengikut ajaran Syiah adalah ‘satu pertunjukan sarkas yang menghiburkan di abad ini’.
Katanya, isu itu akan dijaja ke seluruh negara sebagai cara untuk mengalihkan keresahan rakyat yang terhimpit dengan pelbagai kenaikan harga barangan.
“Dakwaan itu menjadikan pertunjukan sarkas paling top di abad ini. Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai tauke sarkas dan menjadikan pegawai Kementerian Dalam negeri (KDN) sebagai badut sarkas.
“Selepas ini mereka boleh ronda seluruh Malaysia kerana semalam pertunjukan baru bermula di Putrajaya.
“Mereka boleh menghiburkan rakyat Malaysia yang sedang mengelamun dengan kenaikan harga barang. Selepas ini mereka boleh lupa beban kos sara hidup,” katanya, lapor Selangorku.
Semalam, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi dalam sidang media mendedahkan 10 bukti yang mengaitkan Mat Sabu dengan fahaman Syiah.
KDN juga mengemukakan hujah mengaitkan Mat Sabu dengan Syiah antaranya dakwaan berselawat seperti penganut mazhab itu dan mengagumi pemimpinnnya, Ayatullah Khomeini.
Namun, perkara itu dinafikan Mohamad Sabu dan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang berhubung dakwaan berkenaan.
Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata dakwaan yang dikaitkan dengan fahaman Syiah adalah satu lagi bahan jenaka Umno.
Tuan Ibrahim berkata, dakwaan itu adalah tomahan yang bertujuan untuk memburukkan imej Pas.
Katanya, selama ini terdapat pemimpin dunia berkunjung ke negara yang mempunyai ideologi berbeza, namun tidak menganuti fahaman berkenaan.
“Bukti yang didakwa itu adalah dangkal dan memalukan. Saya ingat ia menjadi bahan ketawa pelbagai pihak bila dia mengaitkan seseorang itu dengan fahaman Syiah hanya kerana individu itu kagum dengan seorang tokoh dan banyak kali melawat Iran.
“Alasan yang diberikan hanya akan ditertawakan orang ramai. Dalam konteks negara, ada pemimpin negara yang melawat dan bertemu dengan pemimpin komunis, tidak menjadi komunis begitu juga pemimpin yang melawat negara Sosialis.
“Kekaguman seseorang itu terhadap sesuatu tokoh bukan bererti dia menganut mazhab tokoh itu,” kata Tuan Ibrahim.
Jika tuduhan itu dilemparkan hanya disebabkan kekaguman Mat Sabu terhadap Khomeini maka beberapa pemimpin BN juga boleh dikaitkan menganut fahaman Syiah ekoran pertemuan mereka dengan Bapa Revolusi Iran itu.
Berdasarkan gambar yang tersebar di internet, antara pemimpin BN yang bertemu Khomeini adalah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Perkasa, Ibrahim Ali.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan