Oleh: Rusnizam Mahat & Bashar Ab Kadir
KUALA LUMPUR: Tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap akhbar The Heat, dilihat sebagai cubaan menutup isu pemborosan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah mansor.
Ketua Penerangan KEADILAN, Dr Muhammad Nur Manuty berkata, perbuatan itu jelas melanggar kebebasan media dan hak bersuara seperti ditegaskan dalam perlembagaan.
“Ini satu perkara yang amat dikesalkan. Najib bercakap tentang ketelusan integriti, KPI dan sebagainya, tapi apabila dia dan isterinya dikritik di akhbar, ada pula tindakan dari KDN.
“Dalam era media sosial sekarang, ini adalah satu langkah tidak bijak, sedangkan rakyat masih boleh mendapat maklumat dari sumber internet,” ujar Muhammad Nur.
Beliau mengulas tindakan KDN memberi surat tunjuk sebab kepada akhbar mingguan The Heat kerana menyiarkan laporan perbelanjaan melampau Najib dan Rosmah, baru -baru ini.
Terdahulu, portal Astro Awani dikatakan turut menarik balik berita mengenai kritikan sinis tokoh wartawan, A Kadir Jasin terhadap Rosmah kerana menggunakan jet kerajaan untuk tujuan peribadi ke luar negara.
“Tindakan KDN melanggar kebebasan media, dan tak sesuai dengan negara maju. Keadaan ini berbeza dengan negara-negara lain seperti Indonesia yang lebih ke depan dalam kebebasan akhbar,”
“Di Indonesia rakyat bebas mengkritik pemerintah di kaca tv atau di dada akhbar, dan keadaan ini jauh berbeza dengan Malaysia,” ujar Muhammad Nur.
Sementara itu, Timbalan Ketua Wanita KEADILAN, Rodziah Ismail berkata, kerajaan tidak dapat menutup pembaziran dilakukan perdana menteri dan isterinya, meskipun menghalang media melaporkan perkara itu.
“Pembaziran Najib dan Rosmah sudah sampai ke tahap melampau dan rakyat Malaysia sudah tahu.
“Bangkai jika cuba ditutup, lambat laun kebusukan itu akan terbongkar jua. Bagi saya Najib terlalu angkuh.
“Dia sebagai perdana menteri seharusnya menjadi contoh kepada rakyat Malaysia dalam mematuhi undang-undang negara ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan