Satiful-Bahri-Mamat


KUALA TERENGGANU – Perhimpunan Guling Kerajaan yang dijangka diadakan pada akhir bulan ini tidak mendapat perhatian daripada Pas apabila Pesuruhjaya Pas negeri, Satiful Bahri Mamat menjelaskan tidak tahu menahu mengenai perkara itu.

Ketika ditanya mengenai perkara itu yang turut dikaitkan dengan pembangkang, beliau menjelaskan langsung tidak mendapat maklumat mengenai perkara terbabit.

“Saya tiada maklumat mengenai perkara itu dan tidak tahu pula sama ada perkara itu disebarkan melalui laman sosial kerana maklumat itu pun tidak sampai,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas perhimpunan yang dijangka diadakan di Dataran Merdeka menjelang tahun baharu 2014.

Beliau tidak menafikan Pas bakal menganjurkan perhimpunan mengecam Bangladesh berhubung hukuman gantung sampai mati yang dijatuhkan ke atas pemimpin parti Jamaat e-Islami, Syeikh Abdul Qadir Mullah.

Beliau yang juga Adun Paka berkata, perkara itu digerakkan di bawah Jawatankuasa Mobilisasi dan meminta mana-mana pihak yang mempunyai kelapangan untuk berada di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di Kuala Lumpur, Jumaat ini.

“Sebelum ini di Terengganu, Pemuda Umno negeri  menganjurkan himpunan aman mengecam tindakan Bangladesh yang  menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap pemimpin tersebut, sedangkan sebelumnya, mahkamah negara itu menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup tetapi disebabkan gesaan pihak tertentu termasuk nasionalis, ia telah diubah. Ini tidak adil. Mana boleh keputusan mahkamah dipengaruhi pihak lain,” katanya.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, perhimpunan haram dirancang  31 Disember ini dilihat semata-mata bertujuan mengalih pandangan rakyat daripada beberapa pembohongan pembangkang setelah gagal menawan Putrajaya pada PRU13.

Beliau tidak menolak kemungkinan perhimpunan itu turut libatkan orang yang sama dengan beberapa perhimpunan sebelum ini.