Ahad, 22 Disember 2013

Tokoh wartawan: PM pernah janjikan kebebasan akhbar

 
MALAYSIA KINI



     
 
Tokoh wartawan Datuk A Kadir Jasin membangkitkan semula janji yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk memberi peringatan kepada Menteri Dalam Negeri berhubung tindakan keras pihak kerajaan ke atas satu akhbar mingguan The Heat.

Kadir berkata, Najib dalam satu tulisan di laman web rasmi perdana menteri antara lainnya menyebut mengenai reformasi, termasuk menamatkan Ordinan Darurat, ISA dan paling khusus adalah pemansuhan sekatan ke atas lesen penerbitan.

Namun, Kadir memerhatikan bahawa tindakan yang dikenakan ke atas The Heat, yang digantung permit penerbitan sehingga satu tarikh yang tidak dipastikan, menunjukkan percanggahan pada janji Najib.

“Dengan mengarahkan penggantungan (permit) The Heat, Menteri Dalam Negeri mungkin terlupa (atau tidak tahu) bahawa PM membuat janji yang kuat untuk menyokong kebebasan.

“Apa pun, PM juga pernah memberitahu bahawa era kerajaan mengetahui segalanya sudah berakhir,” kata Kadir dalam tulisan di blog kadirjasin.blogspot.com.

Tambahnya, tindakan yang dikenakan ke atas The Heat menunjukkan para pemimpin politik tersebut masih belum mendapat pengajaran dari tekanan yang dilakukan ke atas penulis blog ketika pentadbiran Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Katanya, para pemimpin politik antara lainnya menggelarkan penulis blog yang giat mengkritik kerajaan pada masa itu sebagai golongan “goblok” yang bermaksud “bodoh”, dan juga “penembak curi”.

Ia secara tidak langsung memberi publisiti kepada blog berkenaan apabila serangan tersebut dilaporkan secara meluas di media yang dikawal kerajaan, kata Kadir.

Beliau menimbulkan perkara itu bagi membayangkan nasib akhbar The Heat – yang baru menerbitkan beberapa keluaran – dan turut menyebut mengenai kesan Operasi Lalang 1987 ke atas akhbar pada masa itu.

Katanya, akhbar berbahasa Melayu Watan gulung tikar dan gagal dihidupkan semula selepas dikenakan tindakan serupa oleh kerajaan pada waktu itu.

Kadir turut mempertahankan haknya untuk mengritik pentadbiran negara, ekoran teguran dari rakan-rakan dan pembaca blognya agar agar berlembut apabila menulis mengenai Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

“Saya beritahu mereka, memandangkan kita adalah rakyat, tentu ada kerajaan. Rakyat memilih kerajaan dan membayar cukai.

“Maka ia adalah hak dan keistimewaan untuk memberitahu kerajaan apa yang kita rasakan,” katanya lagi yang masih tertanya-tanya mengenai sebab sebenar tindakan ke atas akhbar The Heat.

Tiada ulasan: