SYAHIR SULAIMAN
Tidak dapat dinafikan, Malaysia yang dipimpin YAB kini berhadapan masalah ekonomi. Pertumbuhan KDNK diunjur malar, defisit kian melebar, hutang makin mengakar, inflasi terus menjalar dan tabungan semakin sukar.
Walaupun transformasi dijana dan janji dijaja, barah rasuah dan disiplin integriti masih kekal di tahap lama.
Kerajaan YAB dilihat mengambil formula mudah untuk mengatasi masalah ini – cukai dinaikkan, subsidi dikurangkan, integriti dipersoalkan. YAB pasti mengerti, pelbagai perbelanjaan, subsidi dan bantuan yang diberi kerajaan, semuanya dipungut daripada rakyat.
Pendapatan rakyat dicukai, keuntungan rakyat dicukai, perbelanjaan rakyat dicukai, manakala simpanan rakyat dipinjam untuk membiayai hutang kerajaan.
Jika demokrasi adalah pemerintahan ‘dari rakyat, untuk rakyat, oleh rakyat’, ekonomi yang sihat juga begitulah sifatnya.
Untuk pengetahuan YAB, kami anak muda juga cakna memikirkan hal ekonomi negara. Saban hari kami hadapi - harga makan minum mahal, harga rumah mahal, sewa rumah mahal, harga kereta mahal, tambang bas dan teksi mahal.
Hendak belajar perlu berhutang, hendak berniaga tiada modal, hendak bekerja peluang terhad, hatta hendak berkahwin terpaksa meminjam.
Tidak cukup dengan itu, YAB mengumumkan kenaikan 20 sen harga petrol selepas 4 bulan pilihanraya, harga gula diumum naik 34 sen selepas 5 bulan pilihanraya, tarif elektrik diumum naik 15% selepas 6 bulan pilihanraya dan terkini tol lebuhraya pula mahu dinaikkan, yang semuanya tidak pernah dijanjikan.
Semua ini adalah senarai rasionalisasi (baca: pengurangan) subsidi yang telah diumumkan, belum dikira dengan yang bakal diumumkan, ditambah pula dengan peniaga yang menaikkan harga barangan.
YAB pasti tahu, harga barangan menjadi mahal (baca: inflasi) disebabkan dua faktor, tolakan-kos dan tarikan-permintaan.
Dengan kenaikan kos bahan ini, sifir mudahnya, harga akhir yang perlu dibayar pengguna akan turut meningkat. Natijah kenaikan harga barangan ini, kos sara hidup kian menghimpit, kuasa beli makin menyusut, dan hutang isi rumah dijangka terus meningkat.
Siapa akan pulihkan ekonomi Malaysia? Rakyat tiada akses pada perjanjian pembelian tenaga (PPA) oleh TNB terhadap penjanakuasa bebas (IPP) yang mengaut untung besar, yang kami kira wajar dikaji-semula.
Rakyat tiada akses pada keuntungan dan royalti minyak dan gas Petronas, yang kami hitung, wajar diagih rata.
Rakyat tiada akses pada perjanjian konsesi tol yang telah mendapat pulangan atas pelaburan (ROI), yang kami darab, wajar dirunding-semula.
Rakyat tiada akses pada tender dan kontrak kerajaan, yang kami bahagi, wajar diberi secara telus dan terbuka.
Rakyat tiada akses pada subsidi untuk monopoli beras dan gula, yang kami anggar, wajar diagih saksama.
Rakyat tiada akses pada aliran perbelanjaan menteri, yang kami perincikan, wajar dijimat dalam berbelanja.
Benar, rakyat tiada akses, tetapi rakyat punyai azam dan cita untuk berubah demi hidup sejahtera.
Akhir dari saya, ingatlah, ketika YAB (dan isteri) berfikir ke mana mahu pergi, kami anak muda berfikir ke mana duit kami pergi.
Teringat saya akan konsep wasatiyyah yang sering dizikirkan. Jika ikhlas diamalkan, pasti masalah mampu diselesaikan.
Syahir ialah Exco Pemuda PAS Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan