Ahad, 1 Disember 2013

Pulau Batu Puteh: Jawatankuasa Kecil Ditubuh Bincang Penandaan Sempadan Maritim

 MSTAR ONLINE
 
 
KUALA LUMPUR: Malaysia dan Singapura bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa kecil baru bagi membincangkan penandaan sempadan maritim Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh, Terumbu Karang Tengah, dan Terumbu Karang Selatin - kelompok batu yang muncul di laut kedua-dua negara.

Ini dipersetujui pada Mesyuarat ketujuh Jawatankuasa Teknikal Bersama Malaysia-Singapura (MSJTC) berhubung pelaksanaan penghakiman Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai Pulau Batu Putih, Terumbu Karang Tengah, dan Terumbu Karang Selatin, di Singapura selama dua hari mulai Khamis.

Perkara ini terkandung dalam kenyataan bersama oleh Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Anifah Aman dan rakan sejawatannya dari Singapura, K. Shanmugam, yang dikeluarkan di sini Sabtu.

Kenyataan itu menerangkan mesyuarat itu juga mengadakan rundingan tidak formal tentang penubuhan jawatankuasa kecil itu, yang dibentuk berikutan persetujuan antara Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong semasa Permukiman Pemimpin-pemimpin itu di Singapura Februari lepas.

Perwakilan Malaysia ke mesyuarat itu diketuai ketua setiausaha Kementerian Luar Datuk Othman Hashim sementara Singapura oleh setiausaha tetap Kementerian Luarnya, Chee Wee Kiong.

Kenyataan itu menerangkan mesyuarat juga meneruskan perbincangan mengenai isu-isu berkaitan yang timbul dari Penghakiman ICJ mengenai perkara itu, dan ia juga bersetuju yang Mesyuarat Kelapannya diadakan tahun depan.

Pada Mei 2008, ICJ memutuskan Pulau Batu Puteh terletak di bawah kedaulatan Singapura dan Terumbu Karang Tengah kekal sebahagian daripada wilayah Malaysia.

Bagaimanpun, mahkamah tidak memutuskan dengan jelas tentang Terumbu Karang Selatin, dan hanya mengisytiharkan bahawa ia milik negara dalam perairan wilayah di mana terletaknya terumbu karang berkenaan.

Berikutan keputusan ICJ itu, Malaysia dan Singapura menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Bersama bagi menanda sempadan maritim di kawasan sekitar Pulau Batu Puteh dan Terumbu Karang Tengah, dan menentukan pemilik Terumbu Karang Selatin. - BERNAMA

Tiada ulasan: