THE MALAYSIAN INSIDER
Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Razak hari ini mengumumkan bantuan kewangan RM500 diberikan kepada
setiap keluarga yang terlibat dengan musibah banjir.
"Sebagai tanda keprihatinan kerajaan, saya faham bila kena banjir sebab
saya ahli Parlimen (Pekan) kawasan yang selalu kena banjir. Saya tahu
susah payah, penderitaan mereka.
"Sebagai tanda kasih dan prihatin kerajaan maka saya nak umumkan
pembayaran RM500 kepada setiap keluarga yang terlibat banjir," katanya
dalam ucapan penangguhan Perhimpunan Agung Umno 2013 di Pusat Dagangan
Dunia Putra di Kuala Lumpur, hari ini.
Najib, yang juga Menteri Kewangan, turut menyarankan semua bank di
negara ini untuk membenarkan mangsa banjir menangguhkan sementara
bayaran balik pinjaman mereka.
"Saya mengalu-alukan cadangan malah langkah pertama dan dibuat oleh
Malayan Banking supaya (bayaran balik) hutang bank bagi mangsa banjir
ditangguhkan sementara.
"Saya sebagai Menteri Kewangan sarankan semua bank mengikut langkah menangguhkan bayaran balik untuk sementara waktu," katanya.
Presiden Umno itu melahirkan rasa simpati kepada rakyat Malaysia yang
berdepan dengan masalah banjir khususnya di negeri-negeri di Pantai
Timur Semenanjung.
"Timbalan perdana menteri dah turun melawat dan sebagai pengerusi
jawatankuasa banjir negara mengeluarkan arahan yang tegas kepada semua
jabatan, agensi kerajaan bantu mangsa banjir dengan bersungguh-sungguh,"
katanya.
Banjir yang melanda Pahang, Terengganu, Johor dan Kelantan membabitkan puluhan ribu mangsa terpaksa dipindahkan.
Perdana Menteri juga bergegas ke Pahang untuk meninjau lebih dekat
masalah rakyat susulan banjir, selepas merasmikan Perhimpunan Agung Umno
pada Khamis. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan