Isnin, 16 Disember 2013
Pemuda Umno bantah kenyataan tidak sensitif menteri berhubung kenaikan tol
Pemuda Umno hari ini mengkritik Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar atas saranannya kepada pengguna lebuh raya menggunakan jalan alternatif sekiranya tidak bersetuju dengan kenaikan tol.
“Kami tidak bersetuju dengan kenyatannya. Beliau perlu lebih berhati-hati dengan apa yang dikatakan.
Kenyataan itu memperlihatkan rasa tidak sensitif terhadap keperluan rakyat,” kata Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun (gambar) dalam satu sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
“Terpulang kepada rakyat untuk memilih dan jangan mengajar mereka,” katanya.
Terdahulu, Abdul Wahid berkata pengguna jalan raya yang tidak bersetuju dengan kenaikan tol boleh menggunakan jalan alternatif biarpun syarikat konsesi akan menyelaras kadar kenaikan mengikut jumlah trafik.
“Kami menyediakan jalan alternatif kepada mereka yang sanggup membayarnya. Kepada yang berasa kadar tersebut terlalu tinggi, mereka ada pilihan untuk tidak melaluinya,” katanya.
Khairul berkata Pemuda Umno mempunyai beberapa cadangan yang dapat diteliti oleh Putrajaya dan syarikat konsesi.
Salah satu cadangannya adalah syarikat konsesi mengurangkan tol melalui Tanggungjawab Korporat Sosial (CSR).
“Kami tahu terdapat klausa dalam perjanjian membenarkan kerajaan mengurangkan harga. Apa yang kami tahu, hampir semua konsesi mendapat untung besar,” katanya.
Media melaporkan kadar tol akan dinaikkan sebanyak 30 sen ke RM1.
Khairul berkata peningkatan harga hanya dapat dipersetujui jika kajian mendalam dilakukan berhubung peningkatan trafik dan ramalan keuntungan sesebuah lebuhraya.
“Lebuh raya seperti Lebuh Raya Baru Lembah Klang dan Lebuh Raya Damansara Puchong, tiada masalah untuk menjana keuntungan.
“Mengapa syarikat konsesi tidak menunjukkan tanggungjawab mereka dan mengurangkan harga sebagai sebahagian daripada CSR? Ia tidak terhad kepada sumbangan dan acara tahunan. Ini juga boleh dipraktikkan,” katanya.
Khairul berkata Pemuda Umno turut mencadangkan kepada Putrajaya agar pengangkutan awam dikecualikan daripada kenaikan tarif elektrik.
“Kerajaan mahu rakyat menggunakan lebih banyak pengangkutan awam akibat kenaikan harga minyak tetapi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pula mahu mengkaji tambang LRT dan monorel,” katanya.
Beliau berkata Pemuda Umno hanya memberi tekanan kepada kerajaan berhubung isu berkaitan rakyat tetapi cadangan penyelesaian juga diberikan.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebelum ini berkata siri kenaikan tarif kerajaan akan memberi kesan kepada rakyat dan harus dibincangkan ke Kabinet.
Khairy turut mengakui tsunami kenaikan harga adalah siri yang dirancang setelah ditunda dua ke tiga tahun lalu.
Tenaga Nasional Berhad mengumumkan kenaikan 15% kadar elektrik bermula tahun hadapan.
Kerajaan juga membuat kejutan apabila mengumumkan kadar tol akan dinaikkan bermula tahun depan.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan