Ahad, 1 Disember 2013

Media cetak bukan lagi arus perdana, Utusan tuntut lebih bebas untuk kekal

THE MALAYSIAN INSIDER


Jualan akhbar di seluruh dunia menguncup setiap tahun. Gambar fail. 



Jualan akhbar di seluruh dunia menguncup setiap tahun. Gambar fail.Utusan Malaysia melalui wartawannya mengaku media cetak kini bukan lagi “media arus perdana” tetapi media sosial telah mengambil tempat itu.

Sehubungan itu, penulis Utusan Malaysia Ku Seman Ku Hussain menuntut agar ruang kebebasan diberikan kepada mereka untuk terus kekal.

"Sekiranya ruang kebebasan akhbar hampir sama dengan media sosial, jangka hayat akhbar mungkin boleh dilanjutkan.

"Keberanian beradab untuk menegur pemimpin mampu memulihkan keyakinan rakyat kepada akhbar," tulis Pengarang Mingguan Malaysia itu.

Ku Seman juga menulis, definisi “media arus perdana" perlu dilihat semula setelah media sosial mencatatkan pengikut yang jauh lebih besar.

Mereka yang mendapatkan maklumat (tidak semestinya benar) di media sosial jauh lebih besar dan inilah “media arus perdana" pada era ini katanya dalam tulisan bertajuk, "Realiti cabaran akhbar global" itu.

Menurut beliau, penembusan internet negara ini sebanyak 67% pada September lalu berbanding 22% pada 2008 telah memberi ruang wujud dan bertambah dengan pantas jumlah wartawan rakyat (citizen journalist).

Ini menyebabkan jumlah jualan akhbar telah menurun dengan ketara.

"Penurunan jualan bukan sahaja berlaku kepada akhbar yang dilabelkan sebagai 'suara kerajaan'. Malah akhbar suara pembangkang seperti Harakah juga menghadapi penurunan," tulisnya.

Fenomena yang sama juga berlaku di Amerika, kata Ku Seman.

Menurut beliau, penurunan jualan akhbar adalah realiti dunia persuratkhabaran global.

Apa yang dihadapi oleh organisasi akhbar di negara ini, perkara yang sama lebih dahulu dihadapi oleh Barat khususnya AS dan Britain.

Jualan akhbar di seluruh dunia menguncup dari tahun demi tahun, tulisnya.

Menurut statistik terbaru yang dikeluarkan oleh Alliance for Audited Media (AAM), semua akhbar utama di AS mencatatkan penurunan kecuali The Wall Street Journal dan New York Times.

"Bayangkan hanya dua akhbar, selebihnya tidak mampu mengekalkan kedudukan. The Wall Street Journal kekal sebagai akhbar paling laris di AS dengan edaran mencecah 2.4 juta naskhah sehari iaitu meningkat 12% berbanding tahun lalu.

"Sementara New York Times pula mencatatkan edaran 1.9 juta naskhah sehari meningkat 18 peratus dan edisi mingguan meningkat 16% menjadikan edaran 2.3 juta naskhah."

Statistik MAA menunjukkan beratus-ratus akhbar di AS tidak mampu mengekang penurunan edaran.

"Ini termasuklah The Washington Post, sebuah akhbar berpengaruh dan mempunyai sejarah yang panjang," tulisnya.

Tiada ulasan: