Selasa, 10 Disember 2013

Khir Toyo mohon maaf fitnah Teresa Kok

teresa kok spr burn


KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo hari ini memohon maaf kepada Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok berhubung penyiaran artikel fitnah di blognya lima tahun lalu.

Artikel bertajuk ‘Ada usaha larang azan di masjid Selangor’ itu mendakwa Teresa meminta pembesar suara diperlahankan ketika azan di masjid sekitar Puchong dan Damansara.

Teresa Kok, melalui laman Facebooknya berkata, Mohamad Khir memohon maaf kepadanya serta bersetuju membayar kos guamannya di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Siti Khadijah Badjenid di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Beliau membaca surat perakuan seperti berikut: ‘Saya, Mohamad Khir Toyo, defendan pertama, tanpa memasukkan liabiliti memohon maaf kepada YB Teresa Kok Suh Sim kerana menyebabkan penerbitan di blog saya, www.drkhir.com pada 9 Julai 2008, seperti yang dinyatakan dalam kenyataan tuntutan.

“‘Saya menyesal menerbitkannya dan setuju untuk membayar kos,” katanya lagi.

Mohamad Khir turut bersetuju membayar sejumlah wang yang tidak didedahkan, sebagai kos guaman kepada Teresa, yang juga ketika itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara.

Isu azan itu turut dibangkitkan akhbar Utusan Malaysia melalui artikel ‘Azan, Jawi, Jais, UiTM dan ba-alif-ba-ya’ yang disiarkan 10 September 2008.

Teresa Kok memfailkan saman ke atas Mohamad Khir dan Utusan Malaysia, bernilai RM30 juta bagi setiap pihak pada Disember berikutnya.

Katanya lagi, beliau menerima permohonan maaf Mohamad Khir dan bersetuju menarik balik samannya.

“Apa yang saya inginkan adalah permohonan maafnya. Saya percaya beliau tidak sangka ia akan sebabkan saya ditahan ISA selama 7 hari selepas itu,” katanya yang turut berterima kasih kepada peguamnya, Sankara Nair dan pihak yang membantunya.

Teresa Kok ditahan pada 12 September 2008 mengikut Seksyen 73 (1) Akta Keselamatan Dalam Negeri berhubung isu itu.-Roketkini.com

Tiada ulasan: