Sabtu, 21 Disember 2013

Kenaikan cukai taksiran: Pengurangan kadar peratusan tidak memadai

1499525_10152035305019192_1206155877_n


KUALA LUMPUR – Pengurangan peratus kenaikan cukai taksiran yang diumumkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak memadai untuk menampung kenaikan besar taksiran nilai tahunan yang baru, kata Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok.

Beliau mengulas pengumuman Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Mansor semalam bahawa kenaikan cukai taksiran dikurangkan antara satu hingga empat peratus, bermula 1 Januari ini.

Beliau berkata, warga kota masih tidak boleh menarik nafas lega, ekoran terpaksa membayar jumlah yang besar berbanding sebelumnya.

“Misalnya, rumah kediaman dengan nilai tahunan lama RM10,000 perlu bayar RM600, jika menurut kadar peratusan lama enam peratus.

“Jika nilai tahunan baru meningkat kepada RM30,000, pemilik terpaksa bayar RM1,200 walau pun kadar (taksiran) dikurangkan empat peratus. Ini masih lagi kenaikan yang cukup besar,” katanya dalam kenyataan.

Katanya lagi, melainkan nilai tahunan dapat dikurangkan, Tengku Adnan tiada pilihan melainkan terus mengurangkan kadar taksiran.

Semalam, Adnan mengumumkan cukai hartanah perdagangan dikurangkan daripada 12 peratus kepada 10 peratus, kediaman empat peratus (6 %), rumah pangsa kos rendah dua peratus (6 %) dan pangsapuri servis tujuh peratus (10 %).

Teresa turut mengingatkan Adnan, setiap kenaikan mestilah dibuat secara berperingkat dan seiring dengan penambahbaikan perkhidmatan.

Bidas samakan hartanah dengan wanita

Dalam pada itu, beliau yang juga Naib Pengerusi DAP itu turut membidas kenyataan Adnan menyamakan nilai hartanah dengan kaum wanita yang disifatkannya sebagai tidak sensitif dan tidak wajar keluar daripada seorang yang berpangkat menteri.

“Jelas, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat perlu menawarkan kursus kesedaran gender kepadanya,” katanya sinis.

Memetik laporan Malaysiakini, Adnan membuat kenyataan itu di sidang media yang sama, semalam.
“Jika anda memperbaikkan hartanah anda, ia sama seperti wanita. Jika anda tidak berhias, nilainya lebih murah, bukan? Jika anda berhias, ia lebih mahal. Bukankah ia sama?” katanya seperti dipetik. – Roketkini.com

Tiada ulasan: