MSTAR ONLINE
JOHOR BAHARU: Jumaah Majlis Diraja Johor meminta Pengerusi Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Tan Sri Muhammad Ali Hashim memberi penjelasan berhubung artikel tulisannya 'Menuntut Hak, Menebus Masa Silam'.
Disiarkan sebuah akhbar tempatan Isnin lepas, artikel itu dikhuatiri boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap institusi diraja di negeri ini.
Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli berkata walaupun tidak menyebut sebarang nama, artikel itu boleh disalah tafsir oleh sesetengah pihak dengan mengaitkannya dengan Sultan Johor.
"Artikel tersebut menyebut nama Tanjung Puteri yang merupakan nama asal Johor Baharu, kita khuatir perkataan 'Sultan' pada ayat terakhir artikel tersebut boleh merujuk kepada Sultan Johor.
"Penulisan atau tuduhan ini menunjukkan satu perbuatan menderhaka kepada Raja, tidak bertanggungjawab dan boleh menyebabkan pandangan rakyat terhadap Raja terpesong selain bertentangan dengan prinsip Rukun Negara," katanya pada sidang akhbar di Istana Besar di sini Khamis.
Muhammad Ali memuatkan sajak tulisan anak bongsunya yang antara lain menyebut 'Sultan yang adil adalah Sultan yang wajib disembah, Sultan yang zalim adalah Sultan yang wajib disanggah' dalam kolum 'Khalifah Bisnes' yang disiarkan akhbar itu.
Abdul Rahim berkata pihaknya akan menyerahkan surat rasmi kepada bekas presiden dan ketua pegawai eksekutif Johor Corporation itu dalam masa terdekat untuk mendapatkan penjelasan sebelum mengambil tindakan lanjut.
Beliau turut menasihati semua individu yang menerima gelaran 'Datuk' daripada Sultan Johor supaya sentiasa mengingati Sumpah Syarie yang dilafazkan ketika menerima darjah kebesaran tersebut.
Antara sumpahnya adalah untuk memperkasakan, meningkatkan dan menyokong kedaulatan Raja, undang-undang, negeri, rakyat dan darjah yang diberi.
Muhammad Ali menerima pingat Dato' Paduka Mahkota Johor pada 8 April 1984 yang membawa gelaran Datuk dan pingat Dato' Sri Paduka Mahkota Johor pada 8 April 1996. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan