Khamis, 26 Disember 2013

Himpunan 31 Dis : BN takut bayang-bayang sendiri

SALMAH MAT HUSAIN 


PASIR MAS:  Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan mengingatkan pimpinan kerajaan Pusat agar tidak takut dengan bayang-bayang  sehingga memesongkan  himpunan 31 Disember ini  bertujuan menggulingkan kerajaan.

Katanya, pelbagai kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin BN disamping laporan polis yang dibuat agar pihak berkuasa menyekat himpunan ini, membuktikan pemimpin kerajaan takut dengan baying-bayang sendiri.

( Gambar ) Ustaz Fadhli menyampaikan peralatan sekolah kepada dua orang kanak-kanak dalam program turun ke bawah di dun pasir pekan (gambar, kiri).

Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, tidak timbul langsung isu untuk menggulingkan kerajaan seperti yang dihebohkan oleh banyak pihak.

Sebaliknya tambah beliau lagi, ia hanyalah himpunan bagi menyatakan bantahan terhadap pelbagai kenaikan harga barang dan perkhidmatan khususnya menjelang tahun baru 2014.

"Saya menyeru pemimpin Barisan Nasional agar membuka mata dan telinga mendengar rintihan rakyat terhadap kenaikan pelbagai barangan dan perkhidmatan ini khususnya menjelang musim kembali ke sekolah.

“Semuanya akibat urus tadbir yang lemah dan penuh dengan rasuah dan korupsi yang diamalkan oleh Barisan Nasional. Inilah yang seringkali dibuktikan oleh Laporan Ketua Audit Negara saban tahun," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke 20 buah rumah keluarga berpendapatan rendah di DUN Pengkalan Pasir, untuk menyampaikan sumbangan peralatan sekolah.

Fadhli yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Pasir Mas turut diiringi Anggota Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Kawasan Pasir Mas.

Fadhli seterusnya memberitahu, tuduhan yang dilontarkan  himpunan itu bertujuan menggulingkan kerajaan, hanya  perasaan takut pada bayang-bayang sendiri.

Beliau seterusnya berkata, bagaimana mungkin rakyat marhaen yang hanya berhimpun tanpa sebarang senjata boleh menggulingkan kerajaan.

Mengulas berhubung perhimpunan yang bakal dianjurkan TURUN 31 Disember ini, beliau memberitahu ia semakin mendapat perhatian di seluruh negara terutama selepas pengerusinya, Muhammad Azan Safar ditangkap pihak polis pada 23 Disember lalu.

"Saya penuh yakin, jika BN  berterusan menekan rakyat seperti ini dan menggunakan kekerasan untuk menyekat sebarang perhimpunan aman yang dibenarkan oleh perlembagaan, kita akan menyaksikan kebangkitan rakyat secara besar-besaran di seluruh negara untuk bangkit melawan kezaliman yang ditaja oleh Barisan Nasional," tambah beliau.

Tiada ulasan: