KUCHING,: DAP menyelar pemimpin BN Sarawak kerana mempermainkan hukum Islam dengan memperlekehkan kaum wanita.
Ahli Jawatankuasa DAPSY Kebangsaan, Mahdzir Ibrahim turut membidas kenyataan itu yang bukan saja seksis malah tidak menghormati ajaran Islam.
“Kenyataan itu jelas seksis dan tidak menghormati budaya Melayu serta ajaran agama.
“Adakah Abang Johari sememangnya tidak tahu apa yang diajar dalam Islam atau sengaja cuba memperlekeh dan memalukan Violet?
“Poligami adalah soal yang serius dalam Islam, bukannya bahan lawak dan sidang DUN juga bukan tempat untuk berlawak jenaka,” tegasnya ketika dihubungi.
“Belum kahwin kah, saya masih ada tiga kuota lagi,” demikian soalan yang diajukan Menteri Pelancongan dan Perumahan Sarawak, Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg (Abang Johari) kepada dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) wanita DAP Sarawak ketika menggulung perbahasannya.
Dua ADUN wanita DAP itu, Violet Yong (Pending) dan Christina Chew (Batu Kawah) bertanyakan Abang Johari mengenai nasib penjaja pasar Kubah Ria, di Satok.
Sehubungan itu, DAPSY Sarawak menuntut Abang Johari supaya memohon maaf kepada kedua-dua ADUN terbabit, lapor Malaysiakini.
“Kenapa Abang Johari begitu lama mendiamkan isu ini?” soal Timbalan Ketua DAPSY Sarawak, Alan Ling Sie Kiong sambil menyifatkan kenyataan Abang Johari itu berbentuk gangguan dan tidak sewajarnya dibuat oleh seorang pemimpin seperti beliau.
Menurutnya lagi, sekiranya Abang Johari merasakan kenyataannya itu boleh diterima di mata masyarakat dan kaum wanita terutamanya, beliau patut berani mempertahankan kenyataan seksis itu dan bukannya berdiam diri.
Terlebih dahulu, Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen turut menyelar kenyataan Abang Johari yang disifatkannya sebagai seksis malah melampaui batas gangguan seksual.
Beliau yang juga ADUN Kota Sentosa turut menuntut pemimpin berusia 60 tahun itu memohon maaf ke atas kenyataan beliau.
Minggu lalu Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng turut terpalit dengan isu kenyataan seksis terhadap Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid apabila menyebut beliau sebagai seorang ‘nenek rasis’.
Bagaimanapun, Guan Eng memohon maaf keesokannya. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan