Selasa, 17 Disember 2013

Sabah: Di balik tirai kemiskinan, ada rintihan rakyat tak berdosa – Junz Wong (ADUN DAP Likas)

junz wong
Terjemahan/Olahan: Hafiz Zainuddin



KATA orang, rezeki, maut dan jodoh ketentuan tuhan. Kita tidak mahu menolak kenyataan itu. Cuma yang ingin kita timbulkan ialah persoalan apabila rezeki mencurah-curah kurniaan tuhan kepada negeri cuma berlegar di sekitar tangan pemimpin tertentu, malah mereka yang dimenangkan oleh orang miskin! Ironi, tetapi itu sudah cukup mendukacitakan.

Tidak dapat kita bayangkan bagaimana bapa kepada satu keluarga tiga atau lima anak hanya memperoleh pendapatan RM400 hingga RM500 sebulan hasil kerja memungut sawit atau pemandu lori.

Tidak juga kita dapat bayangkan bagaimana kehidupan tanpa bekalan air bersih dan elektrik dan terpaksa manakung air hujan atau mengangkut air berjam-jam dari sungai.

Dua, tiga perkara ini sudah cukup untuk  melunyaikan warga kota yang sudah lama menikmati kemudahan asas. Tanda tanya terbesar yang timbul ialah bagaimana mungkin keadaan ini masih berlarutan di sebuah negeri yang kaya hasil bumi malah terkenal seantareo dunia?

Malangnya nasib Kampung Kinadaan….

Apa yang saya katakan ini adalah satu daripada realiti, hakikat yang masih berlaku di Sabah. Pada 27 Julai lalu, saya mengetuai sepasukan Pemuda DAP mengadakan ziarah ke Kampung Kinadaan di Sugut, sebuah kawasan di utara Sabah. Kawasan ini dimenangi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu dengan 2,535 undi menewaskan calon PKR dan dua calon bebas lainnya.

Kebanyakan keluarga di sini hidup dalam keadaan serba sederhana dan kekurangan tanpa kemudahan air, tanpa bekalan elektrik dan tanpa jalan penghubung yang sempurna. Mereka hanya mampu memperoleh pendapatan bulanan rata-ratanya RM500 sebulan dan tidak terbayang oleh kita bagaimana pula keperitan yang ditanggung keluarga yang mempunyai anak ramai. Sudahlah mereka dibiarkan hidup susah, anak-anak pula masih ramai yang tidak mempunyai dokumen kelahiran dan pendidikan yang menjadi asas dan hak setiap anak. Bolehkah anda menyalahkan keluarga ini yang tidak mempunyai maklumat, pengetahuan dan miskin supaya mengundi apabila diberi sejumlah wang?

Sudah tentu, apa yang kami lihat ini adalah manifestasi politik wang dan salah guna kuasa melampau. Kemiskinan dan kemelaratan negeri yang mempunyai rakyat miskin teramai ini merupakan senjata utuh BN untuk terus mengekalkan status quo Sabah sebagai negeri “Deposit Tetap BN”.

Dua generasi tanpa pendidikan

Tragedi terhadap penduduk di sini terus bertimpa-timpa setelah anak-anak mula membesar. Dengan kemiskinan, kemelaratan, pengasingan dan rantai masalah sosial yang berlaku merupakan faktor terbesar kesukaran ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah. Kita akui, pendidikan percuma di peringkat awal bagi anak-anak ini mungkin percuma tetapi dengan pelbagai masalah yang dihadapi, anak-anak ini tidak mampu ke sekolah.

Saya ingin mengambil contoh bagaimana Tugak Ungong, 48, tidak pernah ke sekolah begitu juga dengan tujuh anaknya yang kini berusia 9 hingga 21 tahun. Bukan sekadar itu, mereka malah tidak pernah merasa keriangan kanak-kanak belajar di tadika.

Bagi Rimlan Kusin, 42, pula, beliau terpaksa berhijrah ke bandar untuk bekerja bagi menampung keluarga dan pendidikan anak-anaknya.

Walaupun kehidupan di bandar agak sukar bagi beliau, tetapi beliau berpuas hati bila mana dua anaknya paling bongsu itu boleh bersekolah memandangkan dua anaknya sebelum ini tidak berkesempatan untuk belajar.

Ada juga ibu bapa yang cuba belajar sendiri daripada bahan bacaan seperti surat khabar lama tetapi tanpa bimbingan, mereka tidak mampu untuk membaca biar pun satu perenggan yang mudah.

Apa yang menyedihkan saya, walaupun sekolah kerajaan, Sekolah Kebangsaan Matanggal siap dan lengkap dibina, ia terbiar begitu sahaja. Penduduk kampung amat berharap agar sekolah itu beroperasi kembali. Percubaan kami menghubungi Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap tidak berjaya.

Keluar dari zon selesa

Penelitian yang dibuat Profesor Bridget Welsh membenarkan jangkaan kita selama ini. Beliau menyimpulkan bahawa tindakan pihak berkuasa atau kerajaan menutup mata atas kemelut kemiskinan rakyatnya tanpa usaha memperkasakan rakyat keluar daripada kemelut kemiskinan hanya semata-mata bertujuan agar undi akan terus memihak kepada mereka, parti pemerintah.

Malaysia Timur adalah elemen terpenting dalam menentukan perubahan kerajaan dalam Pilihn Raya Umum ke-14. Kunci paling mustahak adalah bagaimana rakyat di Malaysia Timur mampu untuk mengalami “pencerahan pemikiran”, untuk mencapai tujuan ini, Sabah mesti bebas daripada kemiskinan.

Bagi kemenangan Pakatan Rakyat (PR) sama ada di Sabah atau Sarawak, gerak kerja tersusun meliputi pelbagai elemen pendidikan, kesukarelawan harus dijalankan di kawasan pedalaman.
Pembinaan infrastruktur seperti sekolah, bekalan air dan sebagainya amat penting dalam mencetuskan semangat untuk berubah. Hanya melalui pengetahuan dan pendidikan, kesedaran rakyat mampu dibentuk dan laungan perubahan bukan lagi mitos yang hanya ditertawakan.

Menggegar negeri “deposit tetap”

Penduduk kampung mengakui bahawa mereka telah memberikan undi kepada BN sejak 20 tahun lalu termasuk pada Pilihan Raya Umum ke-13 Mei lalu. Bagaimanapun, mereka mula sedar bahawa kerajaan BN seperti menutup mata dan memekakkan telinga di atas kemelut kehidupan yang mereka deritai. BN terbukti tidak membawa apa-apa perubahan baik daripada segi pembangunan mahupun kebajikan.

Saya percaya bahawa DAP dan PR perlu berfikir melangkau “politik urban” dan perlu aktif dan bersungguh-sungguh berjuang demi kemaslahatan masyarakat di pedalaman. Kita perlu menunjukkan kesungguhan membela mereka dengan menjalankan lebih banyak aktiviti turun padang bagi menyelesaikan apa jua masalah semampu yang boleh lebih-lebih lagi membabitkan keperluan dan kemudahan asas. Hanya dengan langkah demikian, PR mampu memperoleh kepercayaan penduduk kampung.

Ini hanya sebahagian kisah penduduk di Kampung Kinadaan. Sukar dibayangkan bagaimana pula nasib penduduk kampung di kawasan pedalaman lain. Tanpa usaha keras, sebahagian masyarakat ini akan terus terpinggir, malah terus menjadi mangsa kerakusan kuasa politik BN.-Roketkini.com

Tiada ulasan: